Buka Sekolah Menengah Imtiaz Swasta ganti Asrama Yayasan Terengganu Kemaman

Buka Sekolah Menengah Imtiaz Swasta ganti Asrama Yayasan Terengganu Kemaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebuah Sekolah Menengah Imtiaz (Swasta) akan dibuka menggantikan Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) di Chukai, Kemaman, dekat yang beroperasi hampir 40 tahun lalu dengan memberi peluang pendidikan kepada anak kurang berkemampuan.

Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, Lembaga YT bersetuju dengan penutupan itu bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa.

Katanya, ia terutama bagi memenuhi permintaan ke Sekolah Imtiaz yang kini mencecah hampir 5,000 permohonan setiap tahun.

“Penambahan kapasiti Sekolah Imtiaz adalah penting bagi menampung permintaan tinggi ibu bapa dan pelajar di seluruh negeri.

“Sebelum ini, beberapa daerah lain di Terengganu turut mempunyai penempatan asrama di bawah pengurusan YT seperti AYTK, namun kemudahan tersebut telah dinaik taraf dan ditukarkan sepenuhnya kepada Sekolah Menengah Imtiaz bagi memenuhi perkembangan sistem pendidikan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad Farhan, YT turut mengambil kira tujuan asal penubuhan asrama YT yang diwujudkan bagi membantu penduduk luar bandar menghantar anak mereka ke sekolah menengah, yang ketika itu jumlahnya masih terhad. 

Namun, katanya, pada hari ini, pembangunan pendidikan berkembang pesat dan sekolah menengah kini terdapat di hampir setiap daerah menjadikan fungsi asal asrama tersebut tidak lagi kritikal seperti dahulu. 

Beliau berkata, di samping itu peruntukan khas dari Kerajaan Persekutuan bagi penyeliaan asrama luar bandar juga telah dihentikan sekali gus menjadikan penstrukturan semula ini satu keperluan bagi menjamin kelangsungan pembangunan pendidikan di kawasan Kemaman. 

“Sehubungan itu, AYTK dikenal pasti sebagai tapak yang sesuai untuk dinaik taraf kepada Sekolah Menengah Imtiaz Swasta. Kawasan berkenaan juga mempunyai 10 ekar tanah kosong yang berpotensi menampung pembinaan kemudahan baharu untuk kapasiti 700 hingga 800 pelajar,” katanya.

Katanya, dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan, pengurusan YT akan menjalankan penyelarasan penempatan baharu bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT). 

Menurut beliau, pelajar sedia ada akan dipindahkan secara berperingkat berdasarkan kekosongan asrama di sekolah sekitar daerah Kemaman dan mereka akan meneruskan pembelajaran seperti biasa tanpa sebarang gangguan. 

“Bagi pelajar yang belum memperoleh penempatan baharu, mereka dibenarkan untuk terus menetap di AYTK dan perkara ini telah dimaklumkan kepada ibu bapa. 

“Yayasan Terengganu komited memastikan proses penstrukturan ini berjalan lancar serta memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan pendidikan negeri melalui penubuhan Sekolah Menengah Imtiaz Swasta Kemaman,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial surat makluman penutupan operasi AYTK secara berperingkat sehingga Jun tahun depan yang diedarkan YT kepada ibu bapa pelajar terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN