Budak tujuh tahun digigit ular sawa ketika tidur - Utusan Malaysia

Budak tujuh tahun digigit ular sawa ketika tidur

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki cedera pada jari telunjuk tangan kanannya selepas digigit seekor ular sawa batik seberat satu kilogram semasa sedang tidur di dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Chabang Empat, Panji di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa yang berusia tujuh tahun sedang tidur bersama abangnya di dalam sebuah bilik sebelum menyedari jarinya sakit.

Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Bharu, Norlinawati Sawaludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.01 pagi sebelum anggota APM bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap ular sawa batik itu.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah mangsa, reptilia itu didapati berada di tepi almari di dalam bilik tidak jauh dari tempat kanak-kanak itu tidur.

“Anggota APM mengambil masa lima minit untuk menangkap ular sepanjang satu meter itu selepas menggigit jari mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan kanak-kanak itu mengalami luka pada jari telunjuk tangan kanannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Norlinawati memberitahu, ular sawa batik yang ditangkap itu dibawa balik ke pusat kawalan operasi APM Kota Bharu di Tunjong di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN