KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi pemegang saham utama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bagi memastikan syarikat itu memenuhi tanggungjawab sebagai pengendali infrastruktur pembayaran bersama nasional.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, BNM merupakan pemegang saham utama PayNet sebanyak 35.5 peratus, di samping 11 institusi perbankan di Malaysia.
Bagi mengimbangi peranannya sebagai penyelia dan pemegang saham, kata beliau, BNM menetapkan mandat yang jelas kepada PayNet untuk menyediakan kemudahan pembayaran digital yang inklusif dan berdaya saing kepada rakyat dan peniaga.
Katanya, PayNet juga perlu memastikan daya tahan dan keselamatan sistem pembayaran yang tinggi.
“Selaras dengan peranan PayNet sebagai pengendali infrastruktur pembayaran bersama nasional, BNM dan pemegang saham industri yang lain juga telah secara kolektif bersetuju agar sebarang keuntungan yang diperoleh PayNet akan dilaburkan semula untuk pembangunan dan penambahbaikan berterusan infrastruktur pembayaran negara ini.
“Justeru, PayNet tidak mengagihkan sebarang dividen kepada pemegang saham,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk menyemak semula atau mengurangkan kadar pemilikan BNM dalam PayNet.
Amir Hamzah berkata, BNM sudah merangka pelan jangka panjang untuk mengurangkan pegangan sahamnya dalam PayNet secara berperingkat.
Jelasnya, ia selaras dengan aspirasi BNM untuk meningkatkan daya saing pasaran serta memperkukuh kepimpinan industri dalam ekosistem pembayaran digital negara. – UTUSAN










