BN beri keutamaan kepada rakan komponen termasuk MCA

BN beri keutamaan kepada rakan komponen termasuk MCA

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17 Parti Makkal Sakti di Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) akan untuk terus mengutamakan MCA dan parti-parti komponen yang lain dalam gabungan parti itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga mengulangi bahawa BN juga tidak mempunyai kerjasama rasmi dengan DAP dan persefahaman politik yang ada pada masa ini hanyalah antara BN dan Pakatan Harapan (PH) sahaja.

Katanya, beliau menghormati pendirian MCA yang menyatakan tidak dapat menerima DAP, namun perkara itu perlu dilihat dalam konteks kerjasama politik semasa yang dibentuk atas dasar gabungan bukan antara parti secara individu.

“Saya ingin menyatakan bahawa BN tidak pernah untuk bekerjasama dengan DAP secara rasmi. Kerjasama BN hanyalah dengan PH dan DAP adalah parti komponen dalam PH bersama Parti Amanah Negara (Amanah) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17 Parti Makkal Sakti di Seberang Jaya, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemimpin MCA yang menyuarakan bahawa parti itu tidak mahu terperangkap dengan politik DAP.

Menurut Presiden UMNO itu, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) merupakan parti-parti komponen dalam BN dan kesepakatan yang wujud adalah antara dua gabungan politik bukannya antara parti-parti secara langsung.

“Ertinya, kesepakatan kita adalah antara BN dengan PH. Bukan antara UMNO, MCA atau mana-mana parti komponen BN dengan parti-parti komponen PH secara langsung,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah gabungan, BN akan sentiasa memberikan keutamaan kepada kepentingan parti-parti komponennya khususnya dalam menentukan hala tuju politik dan pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang.

“Saya faham maksud dan kebimbangan yang dibangkitkan iaitu apabila tiba masanya untuk menentukan kerusi yang akan diwakili oleh parti-parti dalam BN atau PH, maka kepentingan parti-parti komponen BN akan diberikan keutamaan,” katanya.

Tambah beliau, perkara itu bukan satu masalah yang besar kerana ia boleh diselesaikan melalui rundingan dan kesefahaman antara semua pihak yang terlibat berlandaskan semangat kerjasama antara parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN