TIGA orang pelajar Tingkatan Satu, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang membuktikan kemampuan reka cipta dan inovasi apabila muncul naib johan dalam Pertandingan Idea, Reka Cipta, Inovasi dan Keusahawanan Antarabangsa i3EC’25 (International, Invention, Innovation and Entrepreneurship Competition i3EC’25) di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuantan baru-baru ini.

Pelajar berkenaan, iaitu Dary Muhadzdzib Rosmadi, Hasya Nur Iman Herman dan Arissa Hasrul Helmy masing-masing berusia 13 tahun telah mengemukakan hasil reka cipta bertajuk Kotak Kuasa Kecemasan Mudah Alih (Portal Emergency Power Box) semasa pertandingan tersebut yang juga turut disertai penuntut KPTM dan sekolah menengah.
Kemenangan itu membolehkan mereka bertiga memperoleh sijil penyertaan dan pingat merupakan satu penghargaan julung kali dalam kalangan pelajar baharu di MRSM Tun Abdul Razak, Pekan.
Menariknya, projek yang dihasilkan selama dua minggu oleh tiga orang pelajar tersebut cuma bermodalkan sebanyak RM100 dan selebihnya menggunakan peralatan atau barang terpakai yang disimpan dalam stor MRSM tersebut.

Guru penyelaras projek, Noor Diyana Fakharuzi berkata, fungsi reka cipta itu untuk membekalkan alternatif tenaga yang boleh digunakan pada waktu kecemasan tanpa bergantung kepada bahan api atau grid elektrik.
“Sistem yang dihasilkan menggunakan panel solar untuk menjana tenaga, menyimpannya di dalam bateri ‘deep cycle’ yang memudahkan (membolehkan) pengguna mengecas peranti seperti telefon bimbit, lampu Diod Pemancar Cahaya (Light Emitting Diode), kipas kecil dan juga radio komunikasi.
“Reka bentuk yang kompak, ringan dan tahan lasak menjadikannya sesuai untuk dibawa ke mana-mana sama ada ke kawasan pedalaman atau dijadikan sebahagian daripada kit bantuan kecemasan,” katanya di MRSM Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang baru-baru ini.
Noor Diyana berkata, kejayaan tiga orang pelajar itu membanggakan warga MRSM Tun Abdul Razak kerana pada usia yang masih ‘junior’ mampu memberikan impak yang besar menerusi hasil reka cipta sekali gus merangsang rakan lain untuk menghasilkan projek reka cipta yang baharu bagi menyertai pertandingan pada masa akan datang.
“Selepas kemenangan ini, kita akan melanjutkan penyertaan pada peringkat antarabangsa menerusi penganjuran anjuran MRSM, KPTM dan institusi pendidikan yang berkaitan dengan reka cipta dan inovasi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peserta projek reka cipta, Arissa Hasrul Helmy berkata, dia serta dua rakannya bersyukur kerana hasil reka cipta mereka muncul naib juara dalam pertandingan tersebut malah tidak menyangka langsung kerana penyertaan itu terdiri daripada pelajar MRSM lain dan KPTM.
“Memandangkan penggunaan tenaga amat penting dalam era teknologi moden, kami bersepakat menghasilkan projek bekalan tenaga mudah alih yang sesuai digunakan pelbagai alat peranti dan sumber cahaya.
“Kami bertiga akan ubah suai lagi inovasi ini di samping mencari idea baharu untuk melakukan projek inovasi yang lain berkonsepkan penggunaan tenaga,” katanya.
Rakannya, Hasya Nur Iman Herman berkata, dia serta rakan juga berterima kasih kepada guru penyelaras yang memberi galakan dan bimbingan sehingga projek inovasi tersebut muncul naib johan dan dikenali dalam kalangan pereka cipta lain.
“Ketika masuk dan memulakan pembelajaran di MRSM di sini, saya dan rakan mula dititip minat serta galakan dalam bidang inovasi berasaskan sains dan teknologi dan saya amat bersyukur serta belajar bersungguh di sini,” katanya.- UTUSAN










