Cik Bunga cakap terus terang saja, ada seorang pelakon baharu (kita panggil dia budak baru nak up) yang sekarang ini makin menjadi-jadi lagaknya.
Dengarnya, dia ini baru muncul dua tiga babak untuk sebuah drama tapi gaya dan butir bicaranya sudah macam rating drama itu naik sebab dia seorang.
Orang belakang tabir kata lakonannya tidaklah hebat pun, masih kayu tahap papan tanda jalan. Dialog macam membaca skrip yang belum difahami, muka pula keras tak bergerak.
Tapi bila kamera off? Amboi, terus jalan mendada, macam ramai tunggu dia di karpet merah.
Jadi, disebabkan perangainya begitu, banyaklah mulut berbunyi di belakang tabir. Pengurus dia sepatutnya jadi orang pertama yang menegur. Tapi entahlah, agaknya jenis tidak makan saman.
Sepatutnya, pengurus harus main peranan. Membimbing dan memberi tunjuk ajar pada si artis. Biar orang kata artis itu pandai membawa diri dalam industri ini.
Kononnya, si pengurus takut benar hendak tegur artis itu kerana mahu dia belajar daripada pengalaman, lagipun dia berbakat besar, katanyalah.
Bakat besar apanya kalau satu set pun pening hendak dapatkan satu take yang hidup? Kelakar pula Cik Bunga rasa.
Kalau terus macam ini, Cik Bunga tidak terkejut kalau Si Baru Nak Up ini menjunam sebelum sempat jadi bintang. Alamatnya, selamat tinggallah, tiada siapa mahu layan awak.










