Seramai 100 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jerantut Pahang menyertai Bengkel Asas Bina Badan anjuran Kelab Bina Badan KJEY, yang diadakan di Jerantut baru-baru ini.
Pengerusi program merangkap Pengerusi Kelab Bina Badan KJEY, Dr K. Jey Prabakaran Thevar, berkata pengenalan sukan bina badan sejak peringkat awal dapat membentuk disiplin, keyakinan diri dan kesedaran menjaga tubuh badan.
“Pendedahan awal membantu mereka belajar teknik pergerakan yang betul, memahami asas kecergasan dan mengenal pasti rutin senaman yang sesuai mengikut umur,” jelas beliau kepada Utusan Pelajar.
Program sehari itu, yang ditaja Elang Kathir Enterprises, memberi pendedahan awal mengenai asas kecergasan, teknik bina badan dan kepentingan gaya hidup sihat kepada murid berusia bawah 12 tahun.
Bengkel itu merangkumi sesi teori dan praktikal, termasuk latihan regangan, pengenalan otot asas serta pergerakan senaman ringan yang dipantau jurulatih berpengalaman.
Dr K. Jey Prabakaran berkata, kelab merancang memperluaskan program ke sekolah lain di daerah ini dan seluruh Pahang bagi menggalakkan gaya hidup aktif, sambil berharap lebih banyak agensi dan penaja tampil bekerjasama pada masa hadapan.- UTUSAN










