MELAKA: Buat pertama kali pengamal media di negeri ini menerima insentif bantuan khas RM500 secara sekali beri (one-off) daripada kerajaan negeri menerusi Belanjawan 2026 Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, menerusi bantuan tersebut kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM75,000.
Menurutnya, bantuan itu akan disalurkan kepada seluruh pengamal media pada Mac tahun depan.
“Hari ini, Melaka tidak akan berdiri megah tanpa adanya pengamal media yang menjadi jambatan dalam menyampaikan dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan kepada rakyat.
“Maka, pada sidang dewan kali ini dan buat julung- julung kalinya kerajaan negeri mengangkat peranan media menerusi insentif khas secara one-off sebanyak RM500 dengan implikasi kewangan sebanyak RM75,000,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini hari ini.
Menurutnya, sumbangan itu bagi menghargai sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat secara profesional sekaligus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Melaka. – UTUSAN










