KEHIDUPAN selebriti Hollywood kaya kelihatan indah, terdapat juga beberapa yang menjalani kehidupan yang jauh daripada gambaran sempurna.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang pernah dipenjarakan atas pelbagai pertuduhan seperti penipuan cukai, serangan seksual dan pembunuhan.
Berikut lima selebriti Hollywood yang pernah bergelar banduan gara-gara kesilapan lampau.

MARTHA STEWART
Martha Stewart pernah dipenjarakan selama lima bulan antara 2004 hingga 2005 selepas disabitkan dengan kegiatan konspirasi, campur tangan proses pendakwaan dan berbohong kepada penyiasat persekutuan mengenai penjualan saham yang melibatkan perdagangan dalaman syarikat, ImClone Systems.
Susulan itu, beliau menjalani lima bulan tahanan di rumah. Martha dibebaskan pada Mac 2005 dan berjaya melancarkan semula empayar medianya.

MARK WAHLBERG
Pada 1988, bintang filem Uncharted ini, menerima hukuman dua tahun penjara kerana mencuri minuman keras dan menyerang dua lelaki Vietnam dengan menggunakan kayu pemukul.
Beliau mengaku kesalahan cubaan membunuh dengan melakukan serangan serta peras ugut ke atas mangsa. Wahlberg bagaimanapun dibebaskan awal dan hanya menjalani tempoh penjara selama 45 hari.

MIKE TYSON
Petinju yang juga pelakon terkenal, Mike Tyson juga pernah menjalani hukuman penjara tiga tahun kerana merogol remaja berusia 18 tahun bernama Desiree Washington.
Kejadian berlaku di sebuah hotel di Indianapolis pada 19 Julai, 1991. Tyson yang dibuktikan bersalah, pada awalnya dihukum 10 tahun penjara namun dibebaskan tanpa dilepaskan lebih awal, hanya dipenjara tiga tahun.

Robert Downey Jr.
Nama pelakon ini, sekitar era 90-an, sering diperkatakan gara-gara penglibatannya dalam kegiatan jenayah seperti penyalahgunaan dadah dan penggunaan senjata api secara haram.
Episod turun naik mahkamah aktor ini bermula pada 1996 membabitkan beberapa kesalahan antaranya penggunaan dadah jenis heroin dan kokain, pemilikan pistol jenis Magnum, selain pemanduan melebihi had laju.
Disabitkan bersalah, mahkamah pada 1999 menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara ke atas beliau, namun dibebaskan awal berserta ikat jamin setahun kemudian.

TIM ALLEN
Pelawak ini pernah menjalani hukuman penjara dua tahun empat bulan antara penghujung 1970-an sehingga awal 1980-an kerana terlibat dengan kegiatan penyeludupan dadah jenis kokain pada 1978.
Beliau sebelum itu terlepas hukuman gantung kerana memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan membekalkan maklumat mengenai kegiatan penyeludupan dadah di Michigan.
Allen memulakan kerjaya sebagai pelawak selepas dibebaskan daripada penjara pada 1981. Beliau juga berjaya meninggalkan sepenuhnya masalah ketagihan dadah sejak 25 tahun lalu.










