Bank Rakyat tawar RM330,000 melalui kempen 'We'll Take You There' - Utusan Malaysia

Bank Rakyat tawar RM330,000 melalui kempen ‘We’ll Take You There’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Rakyat melancarkan kempen ‘We’ll Take You There’ yang menawarkan peluang kepada pelanggan baharu dan sedia ada memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM330,000.

Bank Rakyat berkata, kempen yang diadakan sempena promosi akhir tahun itu selaras dengan peranan serta komitmennya sebagai sebuah institusi kewangan yang memahami hasrat dan keperluan setiap segmen masyarakat.

“Ia juga bertujuan bagi menghargai kesetiaan dan sokongan berterusan pelanggan Bank Rakyat.

“Bermula 10 Disember 2025 hingga 15 Februari 2026, kempen ini menawarkan pelbagai hadiah lumayan kepada pelanggan yang menggunakan atau melanggan produk Bank Rakyat.

“Ini termasuk kenderaan elektrik MG4-Ultimate, pakej kelengkapan rumah bernilai RM30,000, pakej ibadah umrah bernilai RM20,000 serta pakej percutian eksklusif ke destinasi antarabangsa termasuk Norway bagi menyaksikan fenomena Aurora dan Sapporo, Jepun untuk pengalaman ski,” katanya dalam kenyataan.

Bank itu berkata, ia turut menawarkan percutian mewah ke Anantara Desaru Coast, Johor dan The Taaras Beach and Spa Resort, Terengganu, manakala pemenang hadiah sagu hati pula bakal menerima Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bernilai RM1,000.

“Kempen ini membuktikan Bank Rakyat sebagai institusi kewangan yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan serta sentiasa bersama dalam perjalanan kewangan pelanggannya.

“Pelanggan Bank Rakyat terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang, sama ada dalam pengurusan kewangan, peningkatan taraf hidup, mahupun pencapaian aspirasi peribadi mereka,” ujarnya.

Penyertaan kempen ini dibuka kepada pelanggan yang memohon Pembiayaan Peribadi-i dengan jumlah minimum RM30,000, Pembiayaan Perumahan-i dengan jumlah minimum RM200,000 atau Pembiayaan Kenderaan-i dengan jumlah minimum RM50,000, tertakluk pada kelulusan dan pengeluaran pembiayaan semasa tempoh kempen.

Sementara itu, bagi pengguna Kad Kredit-i Bank Rakyat, pelanggan baharu hanya perlu berbelanja minimum sebanyak RM1,000 untuk layak menyertai kempen ini, manakala pelanggan sedia ada pula layak dengan perbelanjaan terkumpul sekurang-kurangnya RM5,000 sepanjang tempoh kempen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN