Banjir semakin pulih, mangsa tinggal 3,147 orang, empat PPS ditutup

Banjir semakin pulih, mangsa tinggal 3,147 orang, empat PPS ditutup

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilaporkan berkurang kepada 3,147 orang setakat hari ini selain empat PPS turut ditutup.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, selain itu, Kabinet turut diberi taklimat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung persiapan bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

“Ia khususnya bagaimana kita perlu mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan serta berada di peringkat waspada ekoran amaran hujan berterusan akan berlaku hingga 8 Disember di negeri tertentu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Tahun 2025 di sini hari ini.

Susulan itu, Fahmi berkata, orang ramai diingatkan untuk mengambil maklum dan membuat perancangan bersesuaian bagi menghadapi monsun berkenaan dalam beberapa hari akan datang.

Terdahulu, banjir gelombang pertama di Kelantan dilaporkan pulih sepenuhnya apabila semua 178 orang daripada 69 keluarga yang berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas pulang ke rumah masing-masing.

Minggu lalu, banjir di Negeri Sembilan juga dilaporkan pulih sepenuhnya, manakala situasi di beberapa negeri yang masih terjejas iaitu Perak, Selangor, Perlis, Terengganu, Pahang dan Kedah terus menunjukkan perkembangan positif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN