ARAU: Pesawah di Kampung Seri Gelam, di sini terpaksa menanggung kerugian besar selepas tanaman padi diusahakan mereka musnah susulan banjir yang menenggelamkan keseluruhan tanaman mereka.
Ekoran itu, ada dalam kalangan pesawah terpaksa memilih tidak meneruskan tanaman dan berehat untuk musim ini susulan bencana tersebut.
Seorang petani, Shahidan Bahrom, 63, berkata, dia menanggung kerugian besar apabila tanaman padi yang diusahakan di tanah seluas kira-kira 24.174 hektar itu musnah ditenggelami banjir pada 24 November.
“Daripada keseluruhan keluasan tanaman tersebut, hanya sekitar 4.266 hektar yang mungkin boleh diusahakan kembali, namun hasilnya itu masih belum dapat dipastikan lagi. Saya telah keluarkan modal lebih RM10,000 bagi mengusahakan padi musim ini dan kebanyakan tanaman musnah ekoran banjir tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Seorang lagi petani, Fauzi Abd Rahman, 50, berkata, banjir kali ini antara terburuk di kawasan itu sehingga mengakibatkan kerugian besar buat petani.
Dia juga turut berdepan nasib sama dengan kebanyakan pesawah memandangkan baharu sahaja menabur benih tiga hari sebelum kejadian banjir itu berlaku.
“Saya usahakan tanaman di kawasan seluas kira-kira 2.8 hektar dan mengalami banyak kerugian termasuk kos jentera dan sebagainya,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad pula berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan laporan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berhubung situasi pesawah terjejas di negeri ini.
Beliau turut membuat tinjauan berterusan di kawasan-kawasan luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seperti Padang Siding, Titi Tinggi dan Bintong bagi meninjau situasi semasa.
“Alhamdulillah tiga kawasan ini menunjukkan kadar pemulihan padi agak baik dan pokok-pokok juga sudah mula menghijau kembali. Kita juga turun padang untuk melihat kemungkinan pokok-pokok padi yang terjejas ini dapat pulih semula untuk kita buat kajian fizikal,” katanya. – UTUSAN










