Banjir: Jabatan Pendidikan pastikan calon SPM selamat

Banjir: Jabatan Pendidikan pastikan calon SPM selamat

TANGKAP layar video tular memaparkan calon SPM serta bapanya meredah air banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan isu tular seorang pelajar di Kampung Kuala Kechau, Lipis, dekat sini yang terpaksa berenang meredah air banjir bagi menduduki Sijil  Pelajaran Malaysia (SPM) 2025. 

JPNP dalam kenyataannya memaklumkan, siasatan mendapati laluan keluar dari rumah pelajar tersebut dinaiki air dengan cepat menyebabkan mangsa terpaksa meredah air sebelum sempat dibawa ke asrama sekolah pada hari Sabtu, 29 November lalu.

“Pelajar tersebut sekarang ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangaaan (SMK) Kuala Lanar dan berada dalam keadaan selamat serta bersedia menduduki peperiksaan bersama-sama calon lain.

“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis dan sekolah-sekolah sentiasa memantau serta memastikan keperluan dan keselamatan calon untuk menduduki peperiksaan dengan sejahtera menjadi keutamaan pada musim tengkujuh ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, JPNP dan PPD dengan kerjasama sekolah-sekolah menengah berasrama di sekitar daerah Lipis sudah menyediakan pelan kontigensi awal dengan mengenal pasti bilangan pelajar yang tinggal  di kawasan berisiko banjir. 

“Kemudahan asrama disediakan kepada semua pelajar yang berada di kawasan tersebut walaupun mereka tidak tinggal di asrama.

“Langkah ini diambil dengan tujuan memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan SPM tanpa sebarang kesulitan,” kata jabatan itu. 

JPNP merakamkan setinggi-tinggi  penghargaan  kepada pihak sekolah, PPD, pasukan keselamatan dan semua pihak yang memastikan perjalanan  peperiksaan SPM dapat diteruskan dengan lancar demi kepentingan calon.

Sabtu lalu, tular dalam media sosial sebuah video memaparkan seorang remaja lelaki berenang merentasi air banjir sambil menolak tong hitam yang dipercayai berisi beg sekolah. 

Menerusi rakaman berdurasi kurang seminit itu, kelihatan calon SPM berkenaan beserta seorang lagi individu dipercayai bapanya terpaksa meredah air banjir yang dalam selepas jalan utama ke kawasan rumahnya terputus hubungan.

Di dalam video tersebut, paras air banjir begitu dalam sehingga hanya kelihatan dua kepala terumbang-ambing di permukaan air ketika mereka melangkah perlahan meredah arus. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN