Kos baiki kenderaan tenggelam banjir boleh cecah RM30,000
KUBANG PASU: Banjir besar yang melanda Hat Yai, Thailand baru-baru ini menyebabkan kerugian besar kepada rakyat Malaysia yang terkandas terutama apabila kenderaan mereka yang tenggelam tidak mempunyai perlindungan tambahan terhadap bencana alam.
Kebanyakan pemilik kenderaan hanya mengambil perlindungan asas ketika memperbaharui insurans tanpa menyedari sebarang kerosakan akibat banjir, tanah runtuh atau ribut tidak termasuk dalam polisi itu.
Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menanggung sendiri kos baik pulih yang dianggarkan mencecah ribuan ringgit, selain kos menunda yang dianggarkan sehingga RM850 untuk mengeluarkan kenderaan masing-masing dari Thailand.
Pengusaha syarikat insurans di Changlun, Ammar Wafiy Johari berkata, hanya kira-kira lima peratus pelanggannya memiliki perlindungan tambahan untuk bencana alam.
“Ramai hanya ambil insurans wajib (CI) dan insurans sukarela (VI) untuk membawa kereta ke Thailand, sedangkan jika mereka menambah perlindungan Extension 101 Insurance (E101) daripada syarikat insurans di Malaysia, ia melanjutkan perlindungan kenderaan hingga ke Thailand.
“E101 akan melindungi kerosakan akibat bencana termasuk banjir. Kalau insurans sedia ada pun tiada perlindungan bencana, kenderaan masih tidak dilindungi daripada risiko banjir,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, lebih 500 kenderaan rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Hat Yai akibat banjir.
Menurut Ammar Wafiy, insurans yang dibeli kebanyakan pelancong di sempadan Malaysia-Thailand hanya meliputi kemalangan pihak ketiga dan kecederaan tubuh badan kepada orang lain walaupun mengambil pelan paling mahal.
“Kes banjir di Hat Yai ini diharapkan menjadi pengajaran berguna kepada semua yang ingin membawa kenderaan sendiri ke Thailand. Sebolehnya ambillah empat perlindungan lengkap iaitu CI, VI, E101 dan insurans perjalanan (TI),” katanya.
Sementara itu, pengusaha sebuah lagi syarikat insurans, Mohd. Uzair Mohamad Daud berkata, pihaknya membantu menguruskan proses membawa keluar kenderaan menggunakan 15 trak tunda yang diluluskan kerajaan Thailand dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia.
Katanya, mengikut undang-undang sedia ada, trak tunda Malaysia tidak boleh mengambil sebarang kenderaan di Thailand, termasuk sehingga ke Hat Yai.
“Setakat ini hanya 15 trak tunda dari Malaysia dibenarkan menunda kenderaan dari Hat Yai yang dijangka mengambil masa seminggu. Kami akan mohon lebih banyak trak tunda untuk membantu mengeluarkan kenderaan yang tersadai di sana,” katanya.
Katanya, pihaknya akan menguruskan dokumentasi bagi pemilik tanpa perlu hadir, namun mereka perlu menyediakan semua dokumen termasuk geran asal, dan kenderaan akan dikumpulkan di Bukit Kayu Hitam sebelum proses tunda seterusnya ke lokasi masing-masing.

Sementara itu seorang pemilik bengkel kenderaan, Shahrin Ali berkata, kos membaiki sebuah kenderaan yang ditenggelami banjir boleh mencecah sehingga RM30,000 bergantung kepada jenis kerosakan.
Beliau berkata, kebiasaannya kereta yang mempunyai banyak komponen elektronik akan berisiko mengalami kerosakan lebih teruk.
“Kos membaiki kereta tenggelam penuh melepasi paras bumbung boleh cecah RM13,000 ke RM30,000 bergantung kepada jenis kereta dan kerosakan.
“Biasanya kereta lama yang mekanikal bukan elektronik lebih rendah dan bukan semua bahagian akan rosak, selalunya yang terjejas melibatkan komponen elektronik sahaja,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, kereta itu hanya sekadar boleh dihidupkan dan bergerak, namun bahagian lain seperti radio, tingkap, pengelap tingkap dan pendingin hawa tidak berfungsi.
“Saya pernah baiki kereta jenama sama yang tenggelam separuh badan, kos tak sampai RM5,000 dan kalau sempat cabut dahulu terminal bateri kereta yang belum tenggelam kerana ia punca utama kerosakan sebab bersambung dengan bahagian elektronik lain.
“Kalau tak sempat cabut, jangan terus hidupkan kereta, tapi tunda dahulu ke bengkel berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN










