MELAKA: Seorang lelaki dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah mencabul seorang wanita di hadapan Masjid Al-Abrar, Semabok, Oktober lalu.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Jefri Joris, 46, selepas meneliti fakta kes, rayuan tertuduh serta permohonan pendakwaan yang menekankan kepentingan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Jefri didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun dengan menyentuh bahagian kiri payudara mangsa kira-kira pukul 11.50 pagi berhampiran pintu gerbang masjid berkenaan pada 6 Oktober 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika motosikal mangsa kehabisan petrol sebelum dia meminta bantuan tertuduh membeli minyak dan menyerahkan RM5 kepadanya.
Tertuduh kemudian kembali kepada mangsa bertanyakan tentang botol kosong untuk mengisi minyak namun secara tiba-tiba menyentuh bahagian kiri dada mangsa, menyebabkan mangsa terkejut dan meminta wangnya dipulangkan.
Tertuduh bagaimanapun sekali lagi cuba mencabul dengan bertanya, “Boleh saya pegang dada awak lagi?” sebelum segera beredar.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon hukuman berat dikenakan kerana perbuatan tertuduh jelas mengganggu keselamatan awam dan maruah wanita, manakala lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan mengalami tekanan hidup, sudah bercerai serta mempunyai empat anak.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Oktober lalu.










