Baju sejuk, selimut dan khemah nilon jadi talian hayat Gaza

Baju sejuk, selimut dan khemah nilon jadi talian hayat Gaza

Nibal Al-Hissi, 25, yang cacat kedua belah tangan bergurau dengan anaknya, Rita, 2, di luar kawasan rumah mereka yang musnah dibedil rejim Zionis di Jabalia, utara Gaza, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bantuan utama yang diperlukan penduduk Gaza kini ialah baju sejuk, selimut dan khemah nilon bagi melindungi mereka daripada kesejukan dan hujan lebat yang melanda kawasan penempatan sementara.

Eksekutif Penyelidik dan Advokasi Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nur Sabrina Suhaimi berkata, kehadiran musim sejuk di sana semakin buruk yang memerlukan pelbagai bantuan musim sejuk dan keperluan asas segera disalurkan.

“Khemah nilon amat penting kerana banyak khemah telah rosak akibat hujan lebat. Bantuan ini dilaksanakan dengan memasang nilon bagi menggantikan bahagian atas dan dinding khemah yang rosak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia sekali gus membolehkan khemah berkenaan terus digunakan sebagai tempat tinggal sementara,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Sebelum ni, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bantuan kemanusiaan termasuk selimut dan khemah perlu segera disalurkan ke Semenanjung Gaza sebelum musim sejuk, ketika ribuan keluarga terus berpindah susulan gencatan senjata pada 10 Oktober lalu.

Nur Sabrina berkata, usaha itu bukan sahaja memberi perlindungan daripada cuaca sejuk, malah memastikan keselamatan dan keselesaan minimum penduduk yang terpaksa berlindung di khemah-khemah sementara dalam keadaan serba kekurangan.

Katanya, CGM turut melaksanakan beberapa projek sokongan komuniti termasuk pembersihan runtuhan bangunan, kerja-kerja baik pulih telaga air serta pembinaan surau sementara bagi kegunaan penduduk setempat.

Ujarnya, bantuan keperluan harian turut diagihkan secara konsisten setiap hari melibatkan penyediaan makanan panas, air bersih, pek sayuran serta bekalan susu dan lampin bayi.

“Projek-projek ini dapat dilaksanakan selepas gencatan senjata dan bertujuan memenuhi keperluan asas komuniti di Gaza, khususnya daripada segi bekalan air bersih dan kemudahan ibadah.

“Insya-Allah, CGM akan terus merancang untuk melaksanakan projek ke arah pembangunan semula Gaza,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×