PETALING JAYA: Kemelut Perikatan Nasional (PN) semakin meruncing apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung serta Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa 1 Januari ini.
Mohamed Azmin Ali memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan pelantikannya sebagai Setiausaha Agung PN adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya mengambil perhatian bahawa pelantikan saya sebagai Setiausaha Agung PN atas bidang kuasa Pengerusi PN, maka saya juga meletakkan jawatan bermula 1 Januari 2026.
“Saya juga mengambil pendirian meletakkan jawatan selaku Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa pada tarikh yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh memegang jawatan berkenaan.
Terdahulu, Muhyiddin memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN bermula 1 Januari ini.
Presiden Bersatu dilaporkan berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada beliau selama memimpin gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.
Tindakan Muhyiddin itu turut disusuli peletakan jawatan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal pagi tadi.- UTUSAN










