MELAKA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap kesiapsiagaan untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza bagi misi keamanan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ketika ini ATM masih menunggu keputusan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberi lampu hijau sebelum digerakkan ke sana bagi melaksanakan misi tersebut.
Menurutnya, kerajaan memang sentiasa bersedia menghantar pasukan pengaman bagi tugasan antarabangsa bukan sahaja di Lubnan tetapi juga di Gaza.
Beliau berkata, secara tidak rasmi Malaysia telah diminta untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza tetapi sehingga kini tiada maklumat terkini diterima.
“Kita masih lagi menunggu lampu hijau daripada PBB bila pasukan pengaman kita akan digerakkan ke Gaza. Kerajaan melihat keamanan di Palestin memerlukan pendekatan komprehensif dan menyeluruh dan kita juga perlu mengambil kira persetujuan penduduk di sana.
“Kita memang sentiasa mengekalkan komitmen sebagai pengaman di peringkat antarabangsa seperti mana penugasan 150 anggota pengaman menerusi Malaysia Batalion (Malbatt)850-12 yang sedang berkhidmat di Lubnan,” ujarnya kepada pemberita pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, ATM masih menunggu arahan rasmi daripada PBB berhubung misi pengaman ke Gaza.
Menurutnya, pihaknya telah berada pada tahap kesiapsiagaan untuk diaturgerakkan ke sana bagi melaksanakan misi terbabit.










