Aduhai, Cik Bunga pun tergelak kecil bila dengar cerita yang satu ini. Bukan sekali dua, tapi ramai yang sudah berbisik-bisik.
Kononnya ada seorang pelakon wanita ini, selalu juga muncul di kaca TV, bergaya sakan di media sosial. Baru-baru ini pun hit dengan sebuah drama lokal di kaca TV.
Kononnya, dia bersama pengurusnya dikatakan bersikap ‘tahi hidung masin’. Kedekut sangat.
Cik Bunga difahamkan, setiap kali muncul ke acara atau perjumpaan, makan minum semua sudah berbayar. Siap orang belanja, siap orang layan. Tapi yang buat orang terkedu, bayar parking pun boleh minta orang lain bayarkan.
Eh? Parking saja pun, bukan bayar tol PLUS dari utara ke selatan. Yang peliknya, dua-dua sama naik. Pelakon tu iya, pengurusnya pun iya.
Macam sudah jadi budaya. Kalau boleh jimat, jimat. Kalau boleh lepas tangan, lepas tangan. Sampai ada yang berbisik, ‘Duit ada, bayaran tinggi, tapi parking pun berkira?’
Cik Bunga bukan mahu mengungkit, tapi common sense lah. Orang sudah keluarkan duit untuk jamu makan minum, tak akanlah parking beberapa ringgit pun mahu disuruh orang lain hulurkan? Lama-lama orang menyampah.
Cik Bunga bukan apa, kena tegur juga hal begini. Kadangkala, reputasi bukan jatuh sebab gosip cinta atau apa tapi sebab perangai sendiri.
Ramai yang sudah mula perasan. Ramai juga yang mula menyindir secara halus. Cuma belum meletup saja lagi agaknya. Cik Bunga cuma hendak pesan, dunia seni ini kecil. Hari ini orang senyum, esok lusa orang boleh ingat sampai bila-bila.
Jangan nanti orang kenal bukan sebab bakat, tapi sebab kedekut tidak bertempat. Jadi, ingatlah, jangan hendak kedekut sangat!-UTUSAN










