PETALING JAYA: Apollo Food Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM13.8 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Oktober 2025 disokong peningkatan prestasi eksport serta pertumbuhan hasil jualan suku tahunan.
Bagi suku kedua berakhir 31 Oktober 2025, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM75.3 juta, meningkat 16 peratus berbanding RM65.1 juta pada suku pertama tahun kewangan sama.
Seiring pertumbuhan hasil, keuntungan bersih bagi suku tersebut turut meningkat 17 peratus suku ke suku kepada RM7.4 juta, walaupun berdepan kos operasi yang lebih tinggi.
Secara kumulatif, bagi enam bulan pertama, Apollo meraih hasil keseluruhan RM140.3 juta dengan kedudukan kewangan kekal kukuh, disokong tunai dan setara tunai bersih berjumlah RM77 juta setakat 31 Oktober 2025.
Susulan prestasi kewangan positif itu, syarikat turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 15 sen sesaham yang akan dibayar pada 15 Januari 2026.
Pengarah Urusan Apollo, Cheah Jia Ming berkata, prestasi suku kedua berakhir 31 Oktober 2025 memberikan petunjuk awal bahawa hala tuju strategik kumpulan berada di landasan tepat, khususnya selepas peralihan strategi Route-to-Market domestik hampir diselesaikan.
“Kami kini melepasi fasa kesan peralihan yang dijangka terhadap jualan dan mula melihat tanda-tanda kestabilan. Jualan domestik semakin pulih, disokong inisiatif penglibatan jenama yang lebih tertumpu serta penawaran portfolio produk yang diperbaharui,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, segmen eksport turut mencatatkan prestasi memberangsangkan hasil permintaan yang kukuh, khususnya di pasaran utama seperti Indonesia.
Dalam pada itu, Apollo kekal berwaspada terhadap tekanan inflasi yang memberi kesan kepada kos input dan operasi.
Tambah beliau, bagi mengekang cabaran tersebut, syarikat memberi tumpuan kepada disiplin kos yang ketat serta peningkatan kecekapan operasi bagi mengekalkan margin keuntungan.
“Kami juga melabur dalam automasi dan penambahbaikan proses yang dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti serta kecekapan kos jangka panjang. Walaupun penjimatan kos yang ketara memerlukan masa, kami kekal yakin terhadap daya tahan perniagaan kumpulan,” tambahnya.
Apollo dan anak syarikatnya terlibat dalam pembuatan serta pengedaran produk konfeksi coklat dan kek lapis untuk pasaran domestik dan eksport, dengan jenama yang telah lama dikenali sebagai antara peneraju tempatan dalam industri tersebut. – UTUSAN










