Apa jadi dengan jenazah Tok Leman?

Apa jadi dengan jenazah Tok Leman? (Siri 1)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah ini berlaku lebih kurang 25 tahun lalu, tetapi masih saya ingat sehingga kini. Bila dikenangkan kembali memang cukup menginsafkan, apatah lagi jika perkara tersebut berkaitan kematian.

Semoga kisah yang saya ceritakan ini akan menjadi pengajaran serta pedoman buat kita semua dalam menjalani kehidupan seharian sebelum dijemput sakaratul maut satu hari nanti.

Begini ceritanya…

Selesai menunaikan solat Maghrib, saya dan rakan-rakan berehat santai di ruang beranda surau. Sedang kami rancak berbual, tiba-tiba muncul Deris dengan wajah pucat dan termengah-mengah.

“Assalamualaikum semua, saya baru dapat berita, Tok Leman meninggal dunia,” katanya sambil memandang kami dengan nafas tercungap.

Saya dan beberapa rakan lain terkejut sambil berpandangan, pelik juga rasanya kerana baru pagi tadi kami berjumpa dengan Datuk Leman sewaktu majlis gotong royong membersihkan tanah perkuburan di hujung kampung.“Innalillahiwainnalillahihirojiun… betul ke apa yang kau cakap ini Deris? Tanya Alang Kadir yang masih sangsi dengan berita tersebut.

“Betul Lang, saya baru lepas balik dari rumah arwah. Datin yang beritahu saya tadi, Sekarang ini mereka tengah tunggu jenazah sampai dari hospital,” sambung Deris sebelum meminta diri.

Saya lihat Alang Kadir mengeluarkan telefon bimbit dari kocek baju Melayunya dan membuat penggilan. Saya tidak tahu siapa yang dia hubungi dan apa butir bicaranya, yang pasti wajahnya cukup serius ketika itu. Selang beberapa ketika kemudian barulah Alang Kadir menamatkan panggilan. Terus dia datang ke arah saya dan rakan-rakan yang ada di situ. Wajahnya sugul seperti ada sesuatu terbuku di hatinya.

“Saya baru lepas maklumkan dengan tok ketua, dia dalam perjalanan pulang dari pekan, nanti lepas Isyak dia minta kita semua terus ke rumah arwah,” kata Alang Kadir perlahan.

Saya dan jemaah lain berada di situ hanya menganggukkan kepala. Fikiran masih melayang jauh memikirkan berita kematian Tok Leman yang baru didengar ketika itu.

“Aku baru bercakap dengan isteri Tok Leman. Katanya, lepas dia balik dari gotong royong siang tadi terus dia sesak nafas kemudian anaknya bawa ke hospital, dan sebelum Maghrib tadi terus dia meninggal,” Kata Alang Kadir perlahan.

Kami yang berada di situ mengangguk faham. Ikutkan hati banyak lagi yang ingin saya tanyakan, tapi saya tahu Alang Kadir juga seperti kami, tidak tahu cerita yang sebenarnya jadi adalah lebih baik kalau nanti bertanyakan dengan isteri atau ahli keluarga arwah, pasti dapat cerita sebenarnya.

Selesai solat Isyak, kami semua menuju ke rumah Tok Leman. Sebaik sampai kami disambut oleh beberapa ahli keluarga arwah. Memang nampak raut kesedihan di wajah mereka, apatah lagi bila arwah pula meninggal dalam keadaan mengejut seperti ini, pasti ramai yang tidak menyangka.

“Kami semua tidak sangka ayah meninggal dunia mengejut macam ini, sedangkan siang tadi elok saja dia pergi majlis gotong royong dan ke pekan,” kata Hafiz, salah seorang anaknya.

Saya angguk perlahan sambil memegang bahunya. Saya faham sebagai anak bukan mudah untuk menerima berita seumpama ini apatah lagi dalam keadaan mengejutkan seperti ini.

“Itulah, saya pun terkejut juga bila dengar arwah meninggal dunia. Sedangkan pagi tadi dia ada bersama-sama orang kampung datang membantu gotong royong kat tanah wakaf,” kata saya lagi.

Ikutkan penduduk kampung memang kenal sangat dengan arwah Datuk Leman. Dia orang paling berpengaruh dan kaya di daerah kami.

Pelbagai jenis perniagaan dia ada, dari yang kecil sehinggalah yang besar.

Hartanya memang melimpah ruah, tidak terkira banyaknya, termasuklah ladang sawit dan kelapa yang berpuluh ekar luasnya.

Datuk Leman juga ada syarikat kontraktor dan pemegang AP yang menjalankan kerja-kerja menggorek pasir di sungai di daerah kami. Di situ sahaja dia ‘makan tak habis’, perniagaan lain yang kami tidak tahu, wallahualam.

Arwah juga bukan orang sembarangan, pengaruhnya cukup besar dan disegani. Dia banyak bergaul dengan orang politik, sebab itulah dia mudah dapat pelbagai tender di kawasan ini.

Ketika hayatnya dia tidaklah bergaul sangat dengan penduduk kampung kerana masanya lebih banyak dihabiskan di bandar, kalau dia muncul di kampung pun biasanya atas urusan perniagaan atau mendapat apa-apa jemputan.

Sebelum ini ramai juga penduduk kampung yang bekerja dengan arwah, terutamanya di ladang-ladang kepunyaannya. Namun ramai juga yang berhenti atas beberapa faktor, tetapi saya tidaklah tahu dengan jelas, sekadar masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja.

Beberapa rakan saya pernah bekerja dengannya tetapi semuanya telah berhenti. Dan salah seorangnya Malik, sebelum ini dia pernah juga bercerita dengan saya tentang ketidakpuas hatinya dengan arwah.

Katanya, jika orang tidak mengenali Datuk Leman mungkin semuanya nampak baik sahaja, namun hakikatnya dia punyai sikap yang cukup menjengkelkan, malah ada ketikanya keterlaluan.

Bukan sekadar kedekut dan berkira dengan pekerja, malah tenaga mereka juga sentiasa dikerah dengan bayaran yang langsung tidak setimpal dan masuk akal. Itu belum masuk bab maki hamun lagi sehinggakan semua pekerja sudah lali dan mana-mana yang tidak tahan terus cabut, angkat kaki.

“Kau bayangkan kalau kita solat Zuhur dan Asar masa tengah kerja, dia takkan bagi percuma, kau kena ganti balik masa itu, dan kalau kau tidak ganti dia akan potong gaji kau! Aku yang dulu pernah kerja dengan syarikat Cina pun tidak macam itu,” kata Malik sewaktu saya bertanya kepadanya selepas dia berhenti kerja dahulu. –UTUSAN

Bersambung

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN