Tidak banyak anugerah antarabangsa seperti S.E A. Write Award yang mengiktiraf pencapaian penulis tempatan, sedangkan mereka memberi sumbangan besar dalam perkembangan bahasa sastera, penulisan dan persuratan.
Pengiktirafan atau penghargaan itu mungkin muncul sekiranya karya- karya berkenaan diterjemah ke pelbagai bahasa asing.
Pengiktirafan tersebut bukan sahaja perlu bagi mengukur tanda aras kualiti karya penulis tempatan, tetapi lebih kepada mempromosi bahasa Melayu dan sumbangannya dalam tamadun sastera antarabangsa.
Setakat ini, hanya Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan antarabangsa menghargai penulis tempatan dan diberi kepada semua penulis di rantau ASEAN.
S.E A Write Award diwujudkan sejak 1979 oleh kerajaan Thailand untuk tokoh negara rantau ASEAN, iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Objektif penganjuran S.E.A. Write Award adalah mewujudkan kesedaran dan pemahaman yang luas tentang kekayaan sastera dalam kalangan penulis.
Anugerah tersebut juga memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada bakat-bakat kesusasteraan penulis kreatif negara Asia Tenggara.
Anugerah tersebut juga bertujuan menghimpun, mempromosi dan mengenengahkan penulis rantau ASEAN yang berbakat besar ke peringkat serantau dan antarabangsa dalam satu program yang berprestij.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari berkata, bagi anugerah kali ini, Sekretariat Tetap Thailand telah mempelawa Malaysia mengemukakan pencalonan anugerah bagi 2024 dan 2025 pada 21 Julai lalu.
Sehubungan itu katanya, DBP telah membuka pencalonan pemilihan calon Malaysia bagi tahun 2024 dan 2025 dan tarikh tutup pencalonan 10 Ogos lalu.
“DBP telah menerima sebanyak 23 pencalonan bagi tahun 2024 dan 2025.
“Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (Malaysia) dipengerusikan oleh Ketua Pengarah DBP, manakala ahli panel terdiri dalam kalangan tokoh dan sarjana sastera tanah air,” ujarnya.
Beliau berkata, antara kriteria pemilihan calon bagi anugerah tersebut adalah pernah menerima penghargaan dan pengiktirafan (60 peratus), prolifik dan tekal (20 peratus ), ketokohan dan pemikiran (10 peratus, komitmen kegiatan dalam pengembangan sastera kebangsaan (10 peratus).
Katanya, pada 10 November lalu, DBP menerima surat pengesahan dua calon penerima daripada Malaysia yang disahkan selaku penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) (Malaysia) bagi tahun 2024 dan 2025.
“Maka dengan itu, saya mengumumkan dua nama penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (Malaysia) pada tahun 2024 ialah Roslan Jomel, manakala bagi 2025 ialah Hafizah Iszahanid.
Roslan dilahirkan di Kuching, Sarawak. Antara kegiatannya terlibat dalam genre puisi, esei dan cerpen. Namun,
cerpen merupakan keutamaan beliau.
Roslan berkata, anugerah tersebut sangat besar baginya memandangkan ramai lagi penulis mapan yang lebih layak.
“Saya akan balas dengan mengutamakan kualiti dalam setiap kerja penulisan. Anugerah ini sungguh besar (maknanya) bagi melestarikan hayat kesusasteraan Asia Tenggara,” ujarnya.
Karya-karya Roslan termasuklah antaranya buku, cerpen eceran, seperti Selamat Datang ke Malaywood iaitu kumpulan cerpen, Posmen dalam Televisyen Roden yang Cenderung Terjun serta sebuah cerpen bertajuk Telefilem.
Roslan juga sering dilantik sebagai pengulas karya-karya yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Tunas Cipta, akhbar Utusan Borneo.
Hafizah juga mengakui terkejut dengan penganugerahan tersebut dan mengakui ada lagi pengarang yang besar, yang pernah menjadi gurunya.
“Saya membesar dengan karya-karya Malim Ghozali Pk yang banyak memberi bimbingan dan memberi motivasi untuk saya terus berkarya,” ujarnya yang berasal daripada Chemor Perak.
Hafizah menghasilkan karya dalam pelbagai genre termasuklah antaranya novel, cerpen, puisi, esei kritikan dan ulasan sastera yang tersiar dalam akhbar arus perdana dan majalah-majalah DBP seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya dan Pelita Bahasa.
Karya beliau juga diterbitkan dalam pelbagai syarikat penerbitan seperti Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), DBP dan Utusan Publication & Distributor.
Beberapa karyanya turut diterjemah ke bahasa Inggeris, Thailand dan Mandarin, iaitu cerpen Nama Saya Lim Mei Ling, Hati Kami dan Novel Bukan Orang Orang.
Dalam pada itu, Hazami yang juga pengerusi jawatankuasa panel penilai berkata, pihaknya juga mengambil langkah ke hadapan dengan menubuhkan sekretariat khas penerima S.E.A Write Award dalam tempoh terdekat. Sekretariat tersebut disarankan penubuhannya oleh penerima S.E.A Write Award 2008 Datuk Dr. Hatta Azad Khan.
Beliau mencadangkan supaya DBP menubuhkan sekretariat tersebut bagi mereka memainkan peranan berterusan dalam usaha menggerakkan sastera dan penulisan tanah air .
“Kita mahu membawa penerima S.E.A Write Award kepada masyarakat dan institusi pengajian tinggi (IPT) supaya bidang penulisan dan sastera terus berada di tempat sewajarnya, “ ujar Hazami.
Dalam pada itu Hazami berkata, penerima anugerah tersebut akan diberi penghargaan dalam bentuk honorarium (wang tunai), plak pengiktirafan S.E.A. Write Award, tiket penerbangan dan penginapan yang ditaja oleh pihak penganjur.
Penerima S.E.A. Write Award) (Malaysia) pada tahun 2024 dan 2025 akan
menerima pengurniaan anugerah daripada Puteri Sirivannari Nariratana Rajakanya, Puteri Raja Thailand Maha Vajiralongkorn pada 16 Disember ini, di Istana Sukhothai, Thailand.
Setakat ini, seramai 237 penulis tempatan telah menerima anugerah tersebut. – UTUSAN










