Aisha nangis berguling, enggan berenggang dengan Fasha Sandha - Utusan Malaysia

Aisha nangis berguling, enggan berenggang dengan Fasha Sandha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sepanjang bergelar ibu, pelakon Fasha Sandha mengakui tidak pernah menyaksikan anak perempuannya menangis sehingga berguling di atas lantai seperti yang berlaku baru-baru ini.

Menurut Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 41, insiden itu berlaku apabila anaknya, Putri Raysha Jemaima, tidak mahu berpisah dan berkeras untuk mengikutnya ke lokasi penggambaran.

“Saya masih rasa berat hati sampai hari ini kerana sebelum ini dia tidak pernah menangis begitu. Video asal sebenarnya sangat panjang, cuma saya tidak sampai hati untuk memuat naik semuanya di media sosial.

“Ada babak dia berguling di atas lantai kerana terlalu sedih. Dia juga enggan ke sekolah sebab mahu ikut saya. Emosinya sangat terganggu apabila saya terpaksa meninggalkannya,” katanya.

Tambah Fasha, sebaik pulang ke rumah, dia segera memujuk anaknya dan dimaklumkan oleh guru bahawa Putri Raysha kembali tenang tidak lama selepas ditinggalkan.

“Bila situasi macam ini berlaku, saya yang perlu kuatkan hati. Mental juga kena kuat,” katanya yang ketika itu terpaksa ke set penggambaran.

Dalam pada itu, Fasha tidak menafikan pernah terdetik di hati untuk meninggalkan dunia lakonan dan memberi sepenuh tumpuan kepada keluarga, namun mengakui perkara itu sukar dilakukan.

“Itulah yang membuatkan timbul perasaan mahu berhenti berlakon, fokus kepada anak dan mungkin berniaga. Namun, lakonan sudah sebati dalam jiwa saya. Saya sangat mencintai dunia lakonan.

“Saya pula jenis yang tidak boleh duduk diam. Bila sudah biasa bekerja, dua bulan tidak berlakon pun rasa sangat berbeza. Terus rasa rindu hendak kembali ke set penggambaran,” katanya.

Fasha ditemui pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) yang berlangsung di Premiera Hotel, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Walaupun berdepan dilema antara kerjaya dan keluarga, Fasha menegaskan tidak pernah menyesal memilih dunia seni sebagai kerjayanya dan akan terus bekerja selagi diberi peluang.

“Nak kata menyesal ceburi dunia seni, memang tidak. Saya membesar dengan lakonan dan tidak pernah rasa menyesal memilih jalan ini,” katanya.

Terdahulu, Fasha memuat naik sebuah video di media sosial memaparkan anak perempuannya menangis kerana tidak mahu berjauhan dengannya, sekali gus mengundang perhatian ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN