PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan kebenaran kepada kerajaan Persekutuan untuk menggunakan dua buah bot kipas udara (air boat) berkuasa tinggi milik baginda sebagai antara aset operasi menyelamat ketika berlakunya musibah banjir.
Perkenan itu dizahirkan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini, selain sebagai persediaan agensi keselamatan untuk melaksanakan misi menyelamat jika berlaku gelombang kedua banjir.
Dua air boat tersebut yang kini ditempatkan di Istana Negara mampu meningkatkan kecekapan operasi di samping mempercepatkan penghantaran bantuan kecemasan kepada mangsa.
Pada Mac 2023, tiga air boat milik Seri Paduka pernah digerakkan untuk operasi menyelamat, memindahkan serta membantu mangsa banjir di Johor.
Ketika itu, aset berkenaan turut digunakan bagi penghantaran bekalan makanan ke penempatan Orang Asli yang terputus hubungan di kawasan Kluang. – UTUSAN










