88.89 peratus projek air siap ikut jadual

88.89 peratus projek air siap ikut jadual

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 88.89 peratus projek sambungan sumber dan bekalan air berjaya disiapkan lebih awal atau mengikut jadual, sekali gus membuktikan kecekapan pelaksanaan secara terancang, berfokus dan berdisiplin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu turut menunjukkan kecekapan tadbir urus kerajaan dan kesungguhan memastikan manfaat segera sampai kepada rakyat.

“Pencapaian ini mencerminkan iltizam berterusan kerajaan Madani dalam memperkukuh prasarana air negara, menjamin kebajikan rakyat serta memastikan tiada komuniti terpinggir daripada menikmati kemudahan asas yang berkualiti.

“Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap langkah pembangunan negara, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, akses kepada bekalan air bersih, selamat dan berterusan bukan sekadar keperluan, malah merupakan hak asas setiap rakyat yang wajib dipelihara.

“Berteraskan prinsip keadilan sosial dan kesejahteraan bersama, kerajaan terus memperkukuh komitmen ini melalui pelaksanaan dasar dan projek yang berimpak tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN