KUALA LUMPUR: Sebanyak 387 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara akan menerima kemudahan papan pintar selewat-lewatnya 10 Januari 2026.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, usaha itu sebagai komitmen untuk memastikan semua sekolah terlibat bersedia dengan pembelajaran digital seawal hari pertama sesi persekolahan tahun depan.
Katanya, pelaksanaan itu dijayakan melalui kolaborasi strategik antara Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Yayasan Didik Negara (YDN) bagi memastikan akses pendidikan berkualiti kepada komuniti India terus diperluaskan.
“Inisiatif pemberian smartboard ini merupakan salah satu program di bawah dasar dan komitmen kerajaan Madani melalui peruntukan MITRA untuk memperkasa pendidikan, khususnya menerusi penyediaan kemudahan moden.
“Dengan kemudahan ini, sekolah-sekolah bukan sahaja menerima peralatan ICT, tetapi turut diperkasa untuk menjadi hab pembelajaran digital, bagi membina kemahiran seperti pemikiran kritis, kreativiti dan kecekapan teknologi selaras dengan aspirasi pendidikan negara,” katanya ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Penyerahan Peralatan ICT kepada SJKT, di sini hari ini.
Kerajaan melalui MITRA menyalurkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membekalkan 400 unit smartboard kepada 387 buah SJKT di seluruh negara.
Pengagihan itu dibuat berdasarkan data rasmi mengikut kriteria seperti satu unit bagi sekolah yang mempunyai kurang daripada 800 murid dan akan dua unit bagi sekolah dengan lebih 800 murid.
Dalam pada itu, kata Ramanan, sejumlah RM33.67 juta juga diperuntukkan bagi tujuan pendidikan awal dan rendah kepada anak-anak masyarakat India pada tahun ini.
Katanya, ia termasuk RM12.8 juta di bawah Inisiatif Penambahbaikan Peralatan dan Perabot dan RM8 juta Program Tusiyen Percuma KALVI Madani.
“Melalui pelbagai inisiatif ini, MITRA telah memperuntukkan sebanyak RM33.67 juta atau satu per tiga daripada peruntukan MITRA bagi tujuan pendidikan awal dan rendah kepada anak-anak.
“Ini adalah bukti bahawa Kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar bercakap tentang pendidikan berkualiti tetapi melaksanakannya dengan peruntukan, program dan tindakan yang nyata demi masa depan anak-anak kita tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. –UTUSAN










