PETALING JAYA: Sebanyak 230 premis makanan di sekitar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diarah tutup sepanjang tahun ini selepas didapati gagal memenuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan.
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Tuan Aznan Hassan berkata, MBPJ tidak akan berkompromi dalam aspek penguatkuasaan demi menjamin keselamatan dan kesihatan warga kota.
“Pada tahun ini sahaja kita sudah menutup 230 premis makanan yang tidak memenuhi standard yang ditetapkan untuk tahap kebersihan.
“Jadi, penguatkuasaan itu akan terus dilakukan dan ia merupakan antara elemen untuk memberikan kesedaran kepada pengendali-pengendali makanan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih 2025, Peringkat MBPJ di Hotel Hilton di sini, semalam.
Tindakan penutupan premis selama dua minggu yang dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) itu adalah prosedur operasi standard (SOP) bagi memberi ruang kepada pemilik premis melakukan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh.
Beliau berkata, tindakan lebih keras bakal diambil sekiranya pemilik premis masih berdegil dan gagal meningkatkan tahap kebersihan selepas tempoh penutupan tamat.
“Selepas penutupan dua minggu, kita akan periksa semula. Jika keadaan masih sama dan tiada perubahan ketara, kita akan bawa ke peringkat mesyuarat untuk cadangan pembatalan lesen perniagaan. Kita mahu pengusaha faham bahawa kebersihan bukan perkara remeh,” katanya.
Dalam majlis sama, sebanyak 58 premis perniagaan dan institusi di daerah ini menerima pengiktirafan kualiti kebersihan tertinggi menerusi Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih 2025.
Sementara itu, bermula tahun 2026, peniaga premis makanan di Petaling Jaya tidak akan menerima kelulusan lesen perniagaan sekiranya gagal mematuhi standard minimum kebersihan tandas mengikut garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Mulai 2026, hanya premis dengan tandas bersih yang memenuhi standard minimum layak menerima kelulusan lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Garis panduan ini turut menetapkan nisbah minimum kemudahan tandas bagi premis perniagaan dan bangunan awam,” katanya. – UTUSAN










