15 projek tebatan banjir di Pahang

15 projek tebatan banjir di Pahang

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 14 projek tebatan banjir di Pahang diluluskan KLerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) manakala satu projek tambahan sudah dibincangkan untuk dilaksanakan di daerah Lipis, menjadikan keseluruhan 15 projek di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek ke-15 itu dibangkitkan ketika beliau bermesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi, 14 projek telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Pahang melalui Kerajaan Negeri Pahang dalam Rancangan Malaysia Ke-13.

“Terkini tambahan satu lagi projek yang dapat semasa saya bermesyuarat dengan TPM (Timbalan Perdana Menteri). Saya bangkit lagi satu keperluan iaitu di daerah Lipis, menjadikan kesemua sekali 15 projek,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini. 

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Dr. Haji Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) berhubung kelulusan bajet Kerajaan Persekutuan melibatkan tebatan banjir di negeri ini.

Wan Rosdy turut memaklumkan kemajuan pembinaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau di Sungai Lembing di sini, mencapai 16.84 peratus iaitu awal empat hari daripada sasaran kemajuan projek.

“Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau di Sungai Lembing, Kuantan bermula 28 November 2023 dan dijangka siap pada 27 November 2026. Projek ini dilaksanakan secara kontrak reka dan bina.

“Kajian reka bentuk dan kerja yang berkaitan bermula pada 28 November 2023 dan siap pada 4 Julai 2025. Seterusnya, pembinaan projek dimulakan pada 5 Julai 2025 dan status kemajuan terkini projek adalah 16.84 peratus berbanding jadual 16.33 peratus, awal empat hari,” katanya.

Beliau turut meminta ahli dewan undangan negeri (ADUN) di kawasan terlibat untuk sentiasa melakukan pemantauan supaya pihak pemaju melakukan kerja mengikut jadual ditetapkan.

“Saya berharap supaya kontraktor dapat menyiapkan kerja-kerja tersebut mengikut jadual sebab banyak kerja di Pahang terbengkalai adalah disebabkan oleh kontraktor.

“Yang ini Yang Berhormat kena pantau betul-betul, kena buat engagement dengan kontraktor supaya (kerja) mengikut jadual dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×