KOTA KINABALU: Sekumpulan 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan melantik dua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet Sabah.
Ia susulan Istiadat Angkat Sumpah Kabinet Sabah kelmarin yang menyaksikan pelantikan ADUN Sukau, Datuk Jafry Arifin dan ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar masing-masing sebagai menteri.
Kesemua 12 ADUN itu terdiri daripada lima wakil rakyat Bebas manakala bakinya daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikatakan membuat pendirian itu dalam media sosial masing-masing.
Malah sekeping gambar tular menunjukkan pertemuan bersama ADUN Bebas kelmarin mencetuskan persoalan mengenai masa depan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengangkat sumpah pada Ahad lalu.
ADUN GRS Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya meluahkan perasaannya dengan menegaskan bahawa demi maruah, beliau tetap dengan pendirian untuk menolak BN.
“Demi maruah saya, keluarga dan penyokong saya, tiada BN,” tulisnya dalam satu kenyataan ringkas di media sosial.
Bagaimanapun ADUN yang dikatakan terlibat dalam percaturan politik itu tampil menjelaskan dan menegaskan tidak wujud sebarang langkah menggugat kepimpinan Hajiji kerana kononnya tidak puas hati penyertaan PH dan BN dalam Kabinet negeri.
ADUN Bebas Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, semua lima wakil rakyat Bebas tidak langsung mempunyai niat dan hasrat untuk menjatuhkan kerajaan diterajui Hajiji.
Beliau berkata, sebaliknya mereka mahu menjadi ADUN Bebas yang mesra kerajaan demi kestabilan politik Sabah selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Tiada langkah lain (untuk jatuhkan kerajaan) sebab kami sayang kerajaan kami (pentadbiran Hajiji),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Rina turut menafikan kononnya pertemuan itu sebagai gerakan baharu bagi menggugat kedudukan kerajaan diterajui Hajiji, sebaliknya pertemuan itu sekadar perjumpaan biasa selepas keputusan PRN Sabah berlangsung Sabtu lalu.
“Perjumpaan biasa sahaja, tiada yang lebih,” katanya.
ADUN GRS Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang antara menyuarakan ketidakpuasan itu sebaliknya berkata, semua pihak khususnya penyokong GRS diminta untuk memberi ruang sepenuhnya kepada kerajaan diterajui Hajiji untuk menstabilkan landskap politik Sabah.
Katanya, sokongan padu semua pihak amat penting demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan.
Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini didokong parti tempatan iaitu Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta lima ADUN
Bebas sekali gus mencerminkan iltizam bersama untuk memacu kemajuan Sabah.
“Kita sandarkan keyakinan dan kepercayaan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Ketua Menteri dan kepimpinannya untuk memastikan GRS terus dominan dalam pentadbiran negeri supaya usaha memperjuangkan hak Sabah dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) menyatakan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi GRS.
“Seluruh jentera dan kepimpinan Pemuda di semua peringkat digesa memperteguh kesatuan saf perjuangan dan memberikan sokongan padu kepada Datuk Seri Hajiji dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Sokongan ini amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial serta kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin pergerakan itu menolak agar BN menyertai Kerajaan GRS Plus yang dipimpin oleh Hajiji.
Keputusan PRN Ahad lalu menyaksikan pembentukan kerajaan campuran antara GRS, lima calon Bebas, PH, UPKO, BN dan KDM setelah tiada parti meraih majoriti mudah. – UTUSAN










