PETALING JAYA: Seramai 10,535 mangsa banjir daripada 3,412 keluarga direkodkan di 99 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri setakat pukul 12 tengah hari ini.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), antara negeri terbabit ialah Pahang, Johor, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Sarawak.
Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 9,549 orang melibatkan 3,132 keluarga yang kini ditempatkan di 78 PPS.
Daerah yang terjejas termasuk Kuantan, Maran, Rompin, Pekan dan Jerantut.
Terengganu pula merekodkan 550 mangsa dipindahkan ke 14 PPS di dua daerah terlibat, sementara Johor mencatatkan 353 mangsa daripada 91 keluarga di 3 PPS.
Selain itu, Selangor merekodkan 47 mangsa, manakala Kelantan mencatatkan 18 mangsa daripada lima keluarga dengan masing-masing melibatkan satu daerah terjejas dan sebuah PPS dibuka.
Sarawak turut menyaksikan satu daerah terjejas melibatkan 18 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di dua PPS di Miri. – UTUSAN









