KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat di negeri ini supaya sentiasa berwaspada pada musim tengkujuh yang sedang melanda.
Baginda bertitah, semua rakyat terutama di kawasan berisiko perlu terus berwaspada dengan keadaan semasa dan mengambil berat terhadap keselamatan diri serta keluarga.
“Saya ingin menasihatkan rakyat terutama di kawasan berisiko banjir sentiasa berwaspada dengan keadaan di musim tengkujuh ini dengan hujan lebat yang turun tanpa henti.
“Ibu bapa atau penjaga, jagalah anak-anak, cucu masing-masing agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini. Dengarlah arahan-arahan daripada pihak berkuasa supaya berpindah atau tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) demi keselamatan diri.
“Pengguna jalan raya juga perlu berhati-hati ketika memandu atau menunggang motosikal. Keadaan hujan menambah risiko bahaya ketika berada di atas jalan raya. Semoga sentiasa selamat di dalam perjalanan menuju destinasi,” titah baginda.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menitahkan semua PPS dapat dijaga dengan baik dan sentiasa mengutamakan aspek kebersihan.
“Saya berharap agar semua PPS di negeri ini berada dalam keadaan bersih dan teratur. Semua pihak terlibat perlu bekerjasama, jagalah kebersihan PPS termasuk ketika menggunakan tandas yang menjadi kemudahan bersama,” titah baginda
Dalam pada itu, peringatan turut diberikan kepada semua rakyat berikutan amaran kesan Ribut Tropika Senyar yang terbentuk di Selat Melaka bakal melanda beberapa Negeri Pantai Barat dan Tengah, termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.
“Ia adalah satu situasi yang jarang berlaku malah hujan lebat dalam tempoh lama boleh menyebabkan kita semua berdepan risiko banjir kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh yang mungkin berlaku di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.
“Saya minta agar kita semua terus berhati-hati dan sentiasa berdoa agar dijauhi dari segala bala bencana dan kemalangan, teruskanlah melakukan solat hajat di Masjid dan di rumah” titah baginda. – UTUSAN










