Warisan dicabar kemuka bukti selesai isu MA9163

Warisan dicabar kemuka bukti selesai isu MA9163

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) sehingga kini masih belum mengemukakan sebarang bukti jelas bahawa parti itu telah menyelesaikan 17 daripada 21 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika menjadi kerajaan negeri dari 2018 hingga 2020.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, dakwaan yang sering diulang oleh Warisan itu menimbulkan persoalan kerana sehingga sekarang tiada senarai rasmi, dokumen sokongan atau rekod pelaksanaan yang pernah ditunjukkan kepada rakyat.

Menurutnya, MA63 adalah isu besar yang tidak boleh dijadikan modal politik tanpa asas kukuh, lebih-lebih lagi apabila melibatkan tuntutan hak Sabah di peringkat Persekutuan.

“Warisan dan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendakwa 17 tuntutan MA63 sudah berjaya semasa mereka mentadbir.

“Perkara ini pernah dibangkitkan pada 2023 dan selepas saya jawab, barulah ia diperbetulkan mereka hanya merujuk kepada perkara yang dipersetujui, bukan yang selesai. Kini, menjelang pilihan raya, dakwaan lama itu diulang semula,” katanya menerusi hantaran video hari ini.

Tambah Armizan, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah yang menguruskan MA63 melalui Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), beliau mempunyai akses kepada semua rekod rasmi dan sebab itu hairan mengapa dakwaan tersebut masih digunakan tanpa sebarang bukti konkrit.

Beliau menegaskan, sesuatu tuntutan hanya dianggap selesai apabila ia dimuktamadkan melalui instrumen perundangan atau pentadbiran, bukannya sekadar hasil perbincangan atau persetujuan dasar.

“Kalau sekadar disentuh atau dibincang, itu bukan bermaksud selesai. Selesai bermaksud ada keputusan hitam putih, tindakan susulan dan dokumen sah kerajaan,” jelasnya.

Armizan turut meneliti kenyataan-kenyataan pemimpin Warisan dan mendapati hanya dua isu sering dijadikan rujukan, namun kedua-duanya juga tidak berlaku dalam tempoh pentadbiran parti itu.

“Isu pertama melibatkan dakwaan bahawa Warisan mengembalikan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah atau rakan sekutu. Bagaimanapun, pindaan Perkara 1(2) yang dibawa kerajaan ketika itu gagal diluluskan pada 2019, manakala pindaan sebenar hanya diluluskan pada 2021selepas era Warisan.

“Isu kedua pula ialah kuasa pemberian lesen perikanan laut dalam. Katanya, pemindahan kuasa itu hanya dimuktamadkan selepas Majlis Khas MA63 dan Jemaah Menteri meluluskannya pada Oktober 2021, dengan majlis penyerahan kuasa berlangsung pada Disember tahun sama.

“Itu fakta dan semua ini berlaku selepas era Warisan, bukan ketika mereka berada dalam kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN