Warga emas dilapor hilang ditemukan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Warga emas dilapor hilang ditemukan meninggal dunia

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari wanita yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu di Hutan Melintang, Bagan Datuk hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Tanda tanya kehilangan warga emas sejak empat hari lalu akhirnya terjawab, apabila mayat mangsa ditemukan dalam parit di kawasan kebun pisang di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang di sini hari ini.

Mayat Halimah Idris berusia 77 tahun ditemui pasukan penyelamat pada pukul 10.50 pagi tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, operasi mencari mangsa yang masuk hari ketiga itu dijalankan merangkumi sektor A dan B.

Katanya, kedua-dua sektor itu mengikuti jejak terakhir mangsa dalam radius lima kilometer ke persisir sungai menggunakan kaedah ‘sweep search’ dan mengaplikasikan konsep LAST.

“Pada pukul 10.50 pagi, mangsa telah dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai agensi di sektor B iaitu di dalam parit yang berada di kebun pisang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kehilangan seorang wanita warga emas yang kali terakhir dilihat pada pukul 4 petang Selasa lalu di sekitar rumahnya.

Pencarian pada mulanya dijalankan keluarga dan penduduk kampung di kawasan kediaman wanita itu yang merupakan kawasan kebun kelapa sawit dan pisang, namun mangsa gagal dijumpai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN