PETALING JAYA: Syarat jarak perjalanan antara 2,000 hingga 5,000 kilometer (km) bagi kelayakan kuota tambahan 300 liter di bawah program BUDI Madani RON95 (BUDI95) tidak mencerminkan realiti operasi pemandu e-hailing di Sabah.
Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah (PENS) berkata, had maksimum 5,000 km itu wajar diturunkan bagi memastikan lebih ramai pemandu di negeri itu layak menikmati manfaat berkenaan.
“Pada masa sama, syarat kelayakan tambahan kuota sehingga 500 liter juga perlu disemak semula supaya lebih selaras dengan keadaan sebenar di lapangan.
“Kos operasi pemandu e-hailing di Sabah lebih tinggi, mengambil kira faktor penyelenggaraan kenderaan serta waktu menunggu tempahan yang lebih panjang. Ini menyebabkan manfaat sedia ada BUDI95 masih belum memberi impak ketara kepada kesejahteraan pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut PENS, pemandu separuh masa turut terkesan kerana kriteria kelayakan memberi kelebihan ketara kepada pemandu sepenuh masa, sedangkan mereka juga menyumbang kepada kelangsungan perkhidmatan terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
“PENS turut memohon penjelasan segera daripada kerajaan mengenai pelaksanaan kuota tambahan kepada penggiat p-hailing.
“Sehingga kini, penghantar p-hailing di Sabah masih belum menerima pengesahan rasmi walaupun pengumuman peluasan manfaat telah dibuat. Penjelasan amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan pelaksanaan dasar berlaku secara adil dan telus,” katanya.
Kata kenyataan itu, keberkesanan dasar tidak boleh dinilai sekadar jumlah liter atau jarak perjalanan, tetapi perlu mengambil kira kaedah pelaksanaan, keadilan pengagihan dan perbezaan keadaan operasi setiap negeri.
“PENS mencadangkan kerajaan mengadakan sesi libat urus rasmi bersama wakil pemandu e-hailing Sabah bagi meneliti mekanisme pelaksanaan BUDI95 mengikut realiti lapangan di negeri tersebut.
“Kami yakin melalui sesi rundingan inklusif, kerajaan dapat menambah baik dasar ini agar lebih adil dan berkesan selaras aspirasi Budi Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat di semua peringkat.
“Pada masa sama, PENS mengingatkan mana-mana pihak termasuk parti politik supaya tidak mempergunakan isu ini untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya negeri,” katanya.
Semalam, Kementerian Kewangan berkata, tahap peningkatan siling kelayakan bulanan BUDI95 bergantung kepada jarak perjalanan e-hailing yang direkodkan dalam sistem syarikat pengendali ehailing EHO bagi bulan sebelumnya.
Katanya, bagi jarak perjalanan kurang 2,000 km tiada tambahan 300 liter dan bagi jarak perjalanan melebihi 2,000 sehingga 5,000 km layak mendapat tambahan sehingga 600 liter.
Manakala bagi jarak perjalanan melebihi 5,000 km layak memperoleh tambahan sehingga 800 liter.
Nilai ambang jarak perjalanan baharu ini ditetapkan berdasarkan kajian MoF terhadap data jarak perjalanan e-hailing yang dikemukakan oleh EHO serta data penggunaan BUDI95 sebenar oleh para pemandu e-hailing pada September 2025. – UTUSAN










