Vesel nelayan hampir karam berhampiran Pulau Perak

Vesel nelayan hampir karam berhampiran Pulau Perak

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sekurang-kurangnya lapan kru sebuah vesel dalam keadaan bahaya setelah bot mereka dilaporkan hampir karam di perairan Timur Laut Pulau Perak, dekat sini pagi tadi.

Insiden dilaporkan pemilik vesel yang menerima maklumat daripada pekerjanya pada pukul 10.45 pagi tentang keadaan bot yang berada di kedudukan kira-kira 14.6 batu nautika dari arah Timur Laut pulau berkenaan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, cuaca dilaporkan buruk dengan angin bertiup dari arah Timur Laut pada kelajuan hingga 40 kilometer sejam serta ketinggian ombak 2.5 meter.

“Berdasarkan maklumat setakat ini, dianggarkan lapan kru atau lebih berada di atas vesel terbabit dan identiti kesemuanya masih dalam proses pengesahan. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan sebaik maklumat rasmi diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada pukul 11 pagi dengan menggerakkan KM SIANGIN untuk melakukan penilaian awal serta bantuan segera kepada kru terjejas.

“Aset yang digerakkan sedang menuju ke lokasi dan akan mengambil tindakan sewajarnya sebaik tiba, termasuk menilai keadaan vesel, memastikan keselamatan kru serta menentukan langkah-langkah susulan yang diperlukan,” katanya.

Romli berkata, kawasan perairan turut mengalami ribut petir, sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan kru dan operasi menyelamat yang sedang dijalankan

“Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui KD LEDANG turut digerakkan bagi memberikan sokongan tambahan dan kapal kargo MAERSK SONGKHLA yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang turut membantu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN