UPM perkasa generasi pentadbir muda sebagai enjin transformasi

UPM perkasa generasi pentadbir muda sebagai enjin transformasi

UPM
Para peserta yang terdiri daripada Pegawai Tadbir Universiti Putra Malaysia bergambar bersama Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (hadapan enam dari kiri) dan urusetia dalam Program Putra Top Talent di Kuala Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA SELANGOR – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh kepimpinan pentadbiran generasi muda melalui Program Putra Top Talent 2025, sebuah inisiatif pembangunan bakat strategik yang dirangka bagi melahirkan pegawai tadbir muda sebagai pemacu transformasi universiti dan sektor pendidikan tinggi negara.
Program berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Pendaftar UPM menghimpunkan pegawai tadbir muda bagi membina asas kepimpinan, ketahanan diri dan profesionalisme pentadbiran yang selari dengan tuntutan ekosistem kerja moden.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata pembangunan pentadbir muda kini menjadi keperluan kritikal bagi memastikan universiti kekal kompetitif dalam persekitaran kerja hari ini yang berubah terlalu pantas, sukar dijangka, semakin kompleks dan sering menuntut keputusan yang tepat dalam keadaan tidak jelas.
“Pentadbir muda ialah penggerak sistem yang menentukan kelancaran operasi, keberkesanan penyampaian dan reputasi universiti. Mereka bukan sekadar melaksana tugasan, tetapi merupakan arkitek tadbir urus yang membentuk masa depan institusi. Sebab itu mereka perlu relevan, celik digital, berintegriti tinggi dan memiliki keupayaan membuat keputusan strategik dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau berkata Putra Top Talent dirangka sejajar dengan Pelan Strategik UPM bagi melahirkan pentadbir yang berperanan sebagai pemacu True North universiti, seterusnya memperkukuh kedudukan UPM sebagai institusi pendidikan tinggi tersohor.
Program ini menekankan pembangunan kompetensi teras dalam pentadbiran universiti moden termasuk ketahanan mental, kepimpinan pasukan, komunikasi berimpak, penyelesaian masalah, pengurusan hubungan kerja, serta pemikiran digital dan kesedaran penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika.
Penceramah jemputan, Dr. Saiful Amin Jalun turut menegaskan bahawa kemampuan membina hubungan adalah asas kepada keberkesanan pentadbir dalam memimpin.
“Keputusan dan proses boleh diasah, tetapi hasil yang paling penting dalam kepimpinan ialah hubungan. Hanya apabila hati terhubung, barulah hubungan itu berkembang dan melahirkan pembelajaran serta pertumbuhan yang sebenar,” katanya sambil menekankan bahawa empati, kejujuran dan komunikasi ialah kunci profesionalisme pentadbiran.
Aspek integriti dan etika profesional turut menjadi fokus utama bagi memastikan setiap pentadbir memahami peranan mereka sebagai penjunjung amanah institusi.
“Setiap keputusan pentadbir memberi kesan kepada pelajar, staf dan reputasi universiti. Pegawai tadbir mesti matang, berprinsip dan berpegang kepada nilai,” antara penegasan dalam sesi bengkel tersebut.
Selain itu, modul pemetaan kerjaya memberi hala tuju jelas tentang laluan kerjaya pegawai tadbir serta menekankan pentingnya rangkaian profesional merentas jabatan sebagai pemangkin pembangunan bakat.
Program ini dilihat sebagai platform holistik yang menyatukan visi, nilai dan kompetensi seorang pentadbir kelas pertama yang berintegriti, berkemahiran tinggi dan bersedia memimpin organisasi masa hadapan.
Dengan pendekatan yang menyeluruh, Putra Top Talent 2025 dijangka melahirkan barisan pentadbir muda yang mampu menggerakkan agenda transformasi UPM selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkukuh tadbir urus sektor pendidikan tinggi negara.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN