UPKO keluar Pakatan Harapan

UPKO keluar Pakatan Harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) serta-merta selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti itu memutuskan untuk menilai semula hala tuju perjuangan berasaskan prinsip Sabah First.

Keputusan itu menyaksikan PH yang sebelum ini mempunyai empat komponen termasuk PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kini tinggal kepada tiga parti.

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang berkata, walau bagaimanapun kedua-dua Ahli Parlimen UPKO iaitu Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau akan terus menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan harus dikekalkan sehingga penggal ini berakhir.

Katanya, UPKO telah menilai semula hala tuju perjuangan dan menyimpulkan hanya parti tempatan Sabah sahaja yang betul memahami denyutan nadi, jiwa, wawasan, impian masa depan Sabah berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya hak 40 peratus.

Sepanjang tempoh empat tahun berada dalam PH, UPKO telah menjadikan agenda Sabah First dalam perundingan berkaitan manifesto pilihan raya PH dan juga perbincangan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Pengerusi PH.

“⁠Bagaimanapun, sepanjang tempoh ini, berlaku jurang intepretasi, pandangan dan pendirian di antara UPKO dan parti komponen PH di peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nelson berkata, malah kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah. 

“Malah UPKO turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH,” katanya.

Menurut beliau, Ewon selaku ⁠Presiden UPKO kemudian hanya dilantik sebagai koordinator, tetapi keputusan berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah, bercanggah dengan apa yang telah diumumkan.

“UPKO bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda Sabah First bersama-sama supaya pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 seperti hak 40 peratus dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.

“Kami juga berpendirian bahawa hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah harus dijayakan tetapi mesti berasaskan kepada semangat, tujuan, intipati dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Kelmarin, Ewon memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding Semakan Kehakiman terkait hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN