UMNO khianati perjuangan asal bangsa Melayu - Tun M - Utusan Malaysia

UMNO khianati perjuangan asal bangsa Melayu – Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa UMNO mengkhianati perjuangan asal bangsa Melayu selepas parti itu menyokong perjanjian yang meletakkan Malaysia di bawah pengaruh Amerika Syarikat (AS).

Dr. Mahathir berkata, tindakan itu bukan sahaja menjejaskan kedaulatan negara tetapi menghapuskan semangat kemerdekaan yang diperjuangkan generasi terdahulu.

Katanya, keputusan menyokong perjanjian yang memberi ruang kepada AS menentukan dasar hubungan Malaysia dengan negara lain menunjukkan UMNO kini lebih mengutamakan kepentingan diri berbanding bangsa dan tanah air.

“Kamu sudah khianati perjuangan ibu bapa dan datuk nenek kamu untuk kemerdekaan tanah Melayu. UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

“Bagi ahli dan wakil rakyat UMNO, perjuangan hanyalah untuk kepentingan diri sendiri. Pengkhianatan kamu akan tercatat dalam sejarah negara,” katanya menerusi hantaran di paltform Facebook, hari ini.

Pada 26 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia dan AS telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik antara kedua-dua negara.

Perjanjian tersebut ditandatangani antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan dengan terma utama termasuk komitmen untuk mengekalkan kadar tarif sebanyak 19 peratus bagi Malaysia.

Dr. Mahathir mendakwa, perjanjian itu bukan sahaja melibatkan pembelian hampir RM1 trilion barangan dari AS, malah turut mengikat dasar luar Malaysia supaya seiring dengan pendirian Washington.

“Tidak perlu kamu pertahan perjanjian ini. Selain dari bersetuju membeli hampir RM1 trilion barangan AS, kamu bersetuju menyokong dasar dan tindakan AS.

“Kamu juga setuju merujuk kepada AS segala tindakan dan dasar hubungan Malaysia dengan negara lain supaya tidak bertentangan dasar dan tindakan AS.

“Keberanian Malaysia sudah tidak ada lagi. Segala-galanya ditentu oleh AS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×