Teresa Kok tidak hormati Sultan dan rakyat Kedah

Teresa Kok tidak hormati Sultan dan rakyat Kedah

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO Kedah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok supaya Pulau Langkawi diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan sebagai tidak menghormati tanah jajahan takluk di bawah naungan Sultan Kedah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan itu juga dianggap tidak sensitif dan menyinggung perasaan rakyat negeri itu.

“Cadangan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak menghormati Tuanku Sultan Kedah selaku Raja yang memerintah Kedah, yang menaungi segala tanah jajahan takluknya dan juga rakyat Kedah secara keseluruhannya. 

“Beliau sewajarnya lebih peka dan sensitif dalam setiap apa yang hendak dibicarakan walau di mana-mana platform sekalipun termasuk di Dewan Rakyat yang mempunyai imuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Teresa mengkritik kerajaan negeri Kedah yang didakwanya gagal membangunkan Pulau Langkawi, sebaliknya pula bercita-cita mahu mengambil alih Pulau Pinang.

Beliau berkata, Langkawi yang kaya dengan potensi pelancongan sepatutnya boleh dimajukan dengan lebih baik jika diurus oleh Kerajaan Persekutuan dan mencadangkan Langkawi ditadbir sebagai Wilayah Persekutuan atau zon antarabangsa.

Menurut Mahdzir, Ahli Parlimen DAP itu tidak harus sewenang-wenangnya menyentuh institusi berkaitan Sultan di negara ini apatah lagi membicarakan perkara itu secara terbuka kerana melibatkan martabat Sultan Kedah. 

“Hal yang berkaitan tanah jajahan takluk Tuanku Sultan bukannya seperti urusan mengambil buah kelapa gugur di tepi jalan yang tiada pemilik tetapi ini soal kedaulatan yang tidak ada kompromi”, katanya.

UMNO Kedah sehubungan itu menggesa Teresa membuat permohonan maaf secara terbuka kerana telah mengguris hati seluruh rakyat negeri Kedah. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN