PETALING JAYA: Penyanyi, Dafi memaklumkan dia tidak akan sesekali menggunakan platform media sosial untuk menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung isu bayaran tidak setimpal.
Menurut bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-5 itu, isu berkenaan adalah sensitif dan tidak sewajarnya dicanang kepada umum.
“Kita kena berhati-hati ketika melontarkan pandangan. Bukan semua perkara sesuai untuk kita cerita.
“Pada saya, jumlah yang pada kita sedikit, mungkin banyak untuk orang lain. Dengan amaun itu, ada individu yang dapat menyara seluruh keluarganya. Pokok pangkalnya, apa yang kita dapat, belum tentu dimiliki orang lain.
“Kalau bayaran yang ditawarkan itu tidak berbaloi, tolak sahaja. Itu hak masing-masing dan tidak salah pun kita tolak. Cuma tak perlulah kita melenting di media sosial,” katanya yang ditemui dalam sidang media drama BF Green Flag, semalam.
Dafi diminta mengulas mengenai luahan penyanyi Ariff Baran di media sosial mengenai bayaran tidak setimpal yang diterimanya baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri Yaakob itu bagaimanapun menegaskan pandangannya mengenai isu tersebut adalah bersifat terbuka dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.
“Saya tidak kenal Ariff dan saya tak tahu apa sebabnya dia berkongsi isu tersebut secara terang-terangan di media sosial.
“Pandangan saya ini ada bersifat terbuka dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu,” kongsinya.
Dalam pada itu, Dafi berkata dia tidak mempunyai masalah untuk membuat persembahan dengan kadar bayaran yang lebih rendah daripada yang ditetapkannya.
“Kalau tawaran itu bersesuaian dan kebetulan saya berkelapangan, saya tak ada masalah untuk terima. Perkara ini berbalik kepada banyak faktor. Mungkin penganjur itu adalah kawan saya sendiri.
“Ataupun penganjur berhasrat untuk memanggil saya menyanyi tetapi mereka tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk memenuhi kadar bayaran yang saya tetapkan. Dalam hal itu, saya tak ada masalah untuk bertolak ansur” kongsinya. – UTUSAN










