Timbalan Menteri Kerja Raya terima PhD UUM

Ahmad Maslan terima PhD UUM

AHMAD Maslan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Ahmad, 59, antara 879 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada sesi kedua majlis konvokesyen itu dengan pengurniaan disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Ahli Parlimen Pontian itu bersyukur atas kejayaan beliau memperolehi PhD selepas empat tahun bersusah payah untuk menamatkan pengajian.

“Hari ini merupakan hari bersejarah kepada saya dan keluarga. Semoga ini sedikit sebanyak boleh dijadikan teladan bahawa mencari ilmu adalah salah satu usaha sepanjang hayat dan mudah-mudahan ia menjadi inspirasi kepada ramai pihak, saya suka universiti ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Ahmad berkata, antara cabaran dihadapi sepanjang pengajian adalah semasa pandemik Covid-19 yang memerlukannya mengikuti kelas secara dalam talian dan pada masa sama perlu menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Masa balik kawasan kadang-kadang kena berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk mengikuti kuliah, selepas itu ada peperiksaan dua subjek utama iaitu Research Methodology dan Academic Writing.

“Alhamdulillah, kedua-dua subjek ini saya dapat A+, kemudian tentulah ada proses-prosesnya kena bentang kertas seminar antarabangsa, contohnya kena menulis, kemudian kena proposal defense, selepas itu kena buat Quantitative Analysis, menulis tesis dan bertemu dua penyelia saya,” katanya.

Beliau melakukan penyelidikannya untuk PhD mengenai komunikasi kerajaan berhubung kait dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sementara itu, bekas tahanan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Mohd. Razin Razali juga antara graduan yang menerima ijazah daripada Raja Muda Kedah pada sesi kedua majlis konvokesyen berkenaan.

Mohd. Razin, 35, yang merupakan graduan Sarjana Sains Pengurusan berkata, dia ditahan reman di bawah undang-undang SOSMA pada 2022 yang kemudian dibebaskan April lalu selepas mahkamah mendapatinya tidak bersalah.

“Semasa saya menjadi tahanan reman ini saya sudah berada pada semester kedua bagi pengajian ijazah sarjana ini. Saya berterima kasih kepada UUM telah membantu saya mencapai impian saya dan terima kasih juga kepada Jabatan Penjara membenarkan saya menyambung pengajian,” katanya.

Dia bersyukur apabila dapat menamatkan pengajiannya meskipun berhadapan cabaran antaranya akses terhad bagi mendapatkan bahan rujukan ilmiah berkaitan bidang pengajian.

“Saya melalui pengajian yang tidak berada di dalam kampus dan tidak dapat untuk mengakses di perpustakaan tetapi saya dapat bantuan daripada penyelia saya yang banyak datang beri bahan-bahan untuk saya kaji dan membaca,” katanya yang merancang untuk menyambung pengajian pada peringkat PhD dalam bidang sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN