KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish memaklumkan dia tidak menyedari tentang kewujudan hantaran yang dimuat naik bekas suaminya, Nedim Nazri Aziz atau Boss Ned, di aplikasi Thread baru-baru ini.
Menurut Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 43, hal itu kerana dia buat masa ini terlalu sibuk menguruskan perniagaan kedai makan yang beroperasi di Ampang, Selangor.
“Saya tak baca sangat ciapan yang dibuat sebab sekarang ini saya memang sibuk uruskan restoran.
“Saya sedar mengenai hantaran itu, tetapi tak rasa ia ditujukan kepada saya kerana hubungan kami masih baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis tayangan drama Saling Tak Terlihat di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, petang Selasa.
Mengulas lanjut, pelakon Polis Evo itu menjelaskan beliau memilih untuk tidak memberi sebarang komen lanjut berhubung isu berkenaan dan menghormati privasi bekas suaminya.
“Saya sebenarnya tak mahu komen apa-apa tentang perkara ini, tambahan pula kami sudah tidak bersama.
“Saya hormati hak dan privasi dia. Bagi saya, tiada apa yang perlu dikaitkan kerana perkara itu tiada kena-mengena dengan saya,” ujarnya.
Nora turut menegaskan, fokus utamanya kini adalah mengekalkan hubungan baik demi membesarkan anak mereka dalam suasana harmoni.
“Saya sentiasa utamakan hubungan yang baik, terutamanya demi anak saya. Itu yang paling penting,” katanya.
Terdahulu, hantaran dimuat naik Nedim di media sosial menimbulkan tanda tanya apabila seolah-olah menyindir seorang wanita bertudung yang disifatkan sebagai berpura-pura baik. Walaupun tidak menyebut sebarang nama, ramai pengguna media sosial mengaitkan kenyataan itu dengan Nora.
Dalam perkembangan lain, Nora bakal tampil dengan watak gadis buta dalam drama terbaharu berjudul Saling Tak Terlihat arahan Izuan Mokhtar.
Drama tersebut turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Datuk Remy Ishak, Fattah Amin, Alicia Amin, Raja Azmi, Datin Seri Umie Aida dan Aleza Shadan.
Saling Tak Terlihat bakal menemui penonton mulai 6 November ini di platform penstriman UTV. -UTUSAN









