ERA 80-an menyaksikan kehadiran kumpulan-kumpulan Rock yang kemunculan mereka seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pada zaman itu, kumpulan-kumpulan inilah yang menghidupkan pub dan kelab malam di ibu kota.
Antara band yang terkenal dan mempunyai ramai pengikut ketika itu adalah Ella & The Boys yang mencipta nama pada tahun 1985. Empat tahun kemudian, Ella meninggalkan kumpulan itu untuk meneruskan karier solonya.
Kekosongan yang ditinggalkan Ella pernah diisi beberapa penyanyi. Antaranya Bibiana Layola Lee. Namun selepas itu, penyanyi, Shima dipilih membarisi dua vokalis The Boys sebelum akhirnya kumpulan itu dinamakan sebagai Shima & The Boys.
Kehadiran Shima menganggotai The Boys ketika itu mengundang pelbagai pandangan dan persepsi dalam kalangan peminat band tersebut. Ada peminat yang mengikuti perjalanan Ella & The Boys, tidak dapat menerima apabila kedudukan Ella digantikan Shima.

Susulan itu, timbul spekulasi dan dakwaan liar kononnya Shima merampas kumpulan itu dari Ella sehingga membuatkan kedua penyanyi itu bermasam muka.
“Perkara itu (rampas kumpulan) tidak berlaku sama sekali. Malah, mengarut sungguh apabila pada masa itu, ada pihak yang mendakwa saya dan Ella bermasam muka disebabkannya. Hakikatnya, ramai tahu yang saya menjadi vokalis The Boys selepas Ella meninggalkan kumpulan tersebut.
“Bahkan, sebelum saya, ada beberapa penyanyi yang lebih awal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ella. Jadi, dakwaan kononnya saya merampas The Boys dari Ella agak tidak rasional,” kata Shima.
Karier Shima bersama The Boys bertitik tolak pada 1989, ketika dia dan adiknya menyaksikan persembahan kumpulan itu di Kelab ASA dekat Klang, Selangor.
Segalanya bermula apabila Shima memenuhi permintaan adiknya untuk naik ke pentas dan menyanyi bersama The Boys.
“Kebetulan salah seorang penyanyi The Boys waktu itu merancang untuk mengundur diri kerana mahu berumah tangga. Jadi, selepas malam itu, Ketua Kumpulan, Ahmad Lokman Ismail terus bertanyakan kepada saya sama ada berminat untuk menyertai The Boys sebagai penyanyi mereka.
“Sebelum membuat keputusan, saya bertanyakan mengenai perkara itu kepada ibu saya. Dia tidak menghalang, malah berpesan agar saya menjaga diri dengan sebaiknya,” katanya lagi.
Magis yang dicipta Shima bersama kumpulan The Boys disaksikan komposer, Allahyarham Adnan Abu Hassan yang ketika itu berkhidmat di bahagian Artist and Repertoire untuk syarikat CBS Records (kini Sony Music Entertainment).
“Kebetulan ketika menonton persembahan kami, arwah Adnan juga sedang mencari sebuah band untuk diikat sebagai artis rakaman. Jadi bertitik tolak saat itu, kami ditawarkan untuk bernaung selama satu tahun bersama CBS Records sebagai Shima & The Boys,” kongsinya.
Shima & The Boys muncul dengan sebuah album, Kelkatu Gugur Sayapnya sebelum kontrak kumpulan itu bersama CBS Records ditamatkan pada tahun 1989. Label berkenaan bagaimanapun merancang untuk kekal memegang Shima sebagai artis rakaman, justeru mengikat kontrak baharu untuk menaunginya sebagai artis solo.
Sepanjang bernaung di bawah CBS Records (Sony Music), Shima mencipta pelbagai kejayaan menerusi penghasilan 11 buah album dengan Shima yang menjadi album solo pertama yang dirakamnya pada 1990.

PENGORBANAN UNTUK KELUARGA
SHIMA atau Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman tidak dilahirkan dalam keluarga yang senang.
Malah, perceraian kedua ibu-bapa ketika usianya mencecah 17 tahun menjadi sebab yang mendorong kemahuannya untuk bekerja pada usia terlalu muda.
“Saya terus bekerja selepas tamat tingkatan lima, antara pernah menjadi gadis kilang, pelayan restoran dan sebagainya. Tapi semua tidak berkekalan kerana minat saya lebih kepada dunia nyanyian.
“Saya mula menyanyi di kelab malam pada usia 18 tahun. Ayah saya, yang ketika itu menetap di Kedah, membantah keputusan saya untuk bekerja di kelab malam.
“Iyalah, bukan mudah seorang bapa untuk membenarkan anak gadisnya bekerja di tempat begitu. Tapi saya nekad untuk meneruskan hasrat itu kerana niat saya hanyalah mahu mencari wang untuk membantu menyara keluarga.
“Tambahan lagi saya ini anak sulung, adik beradik lain pula masih bersekolah. Jadi saya merasakan perlu berkorban untuk keluarga. Walaupun pada awalnya ayah saya membantah, lama kelamaan dia merestui selepas melihat satu persatu pencaiapaian saya sebagai penyanyi,” ujarnya.

CETAK ROMPAK
SHIMA memaklumkan Shima 3: Teringin yang diterbitkan pada 1993 menjadi antara albumnya yang paling laris terjual.
Namun, penyanyi bersuara lantang ini masih merasakan kekecewaan mendalam disebabkan album itu dicetak rompak secara besar-besaran dan dijual secara haram sebelum secara rasmi dilancarkan dan dipasarkan.
“Kesilapan pihak label ketika itu adalah mereka membenarkan radio memutarkan lagu-lagu dalam album berkenaan selama satu bulan sebelum ia dipasarkan.
“Jadi, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan merakam dan mencetak secara haram ketika kesemua lagu dalam album itu berkumandang di radio.
“Keadaan itu merugikan dan menjejaskan jualan. Saya dimaklumkan rekod jualan album itu tidak mencecah RM100,000 walaupun album itu dikira album saya yang paling laris,” kongsinya.

TIADA ERTI
MESKIPUN diuji pelbagai kesusahan hidup, Shima tidak pernah melupakan peminat yang sejak dulu menyokong perjalanan seninya.
Selepas 18 tahun, kini Shima muncul dengan single terbaharu, Tiada Erti hasil ciptaan komposer Chevy Amri.
Kata Shima, melodi dan lirik lagu bergenre pop rock itu membuka hatinya untuk kembali merakamkan lagu.
“Pada awalnya saya telah menerima beberapa buah demo lagu daripada seorang wartawan. Tapi hati saya terpikat kepada lagu Tiada Erti.
“Kemudian saya hubungi penciptanya, Chevy bagi menyuarakan hasrat untuk merakamkannya dan mencadangkan agar gubahan lagu itu ditukar kepada pop rock.
“Lagu ini saya anggap sebagai kesinambungan rantaian lagu-lagu hits saya antaranya Teringin, Luka Dilukai, Setelah Aku Kau Miliki dan banyak lagi,” kongsinya.
Selain berkongsi tentang lagu baharu, Shima juga meluahkan keinginan untuk mengadakan konsert atau showcase buat peminat.
“Sepanjang karier nyanyian, saya tak pernah ada konsert solo. Jadi memang saya teringin untuk itu. Cuma belum ada pihak yang sudi memberi tajaan. Saya harap peminat doakan agar satu hari nati saya muncul dengan konsert solo, Insya-Allah,” ujarnya.

DIUJI SLIPPED DISC
KONTRAK Shima sebagai artis rakaman Sony Music berakhir pada tahun 2000, iaitu selepas 11 tahun bersama syarikat rakaman tersebut.
Shima mengakui disebabkan terlalu lama bernaung di bawah label yang sama, apabila kontrak berakhir, dia sedikit hilang arah.
Namun demi kelangsungan hidup, Shima memilih untuk mencari pendapatan dengan menyanyi di Regent Hotel, Kuala Lumpur bermula 2001.
Selepas dua tahun, dia kemudiannya meneruskan aktiviti nyanyiannya di sebuah kelab di Federal Hotel. Namun, selepas di Federal Hotel, Shima pada 2012, bertukar angin dengan menyanyi di Grand Millennium Hotel di Bukit Bintang.
Pada tahun yang sama, Shima diuji dengan penyakit slipped disc selepas tergelincir dalam bilik air ketika bersiap untuk pergi bekerja.
Dua tahun dia menjalani kehidupan biasa dan dalam masa yang sama menahan sakit sebelum akhirnya merujuk doktor pakar untuk mengetahui keadaan kesihatannya yang sebenar.
“Selepas pemeriksaan, barulah saya mengetahui yang saya mengalami slipped disc di tengkuk dan tulang belakang di bahagian lumbar.
“Doktor menasihatkan saya melakukan pembedahan namun cadangan itu saya tolak kerana enggan menanggung sebarang risiko. Jadi, saya bertahan dengan pengambilan ubat dan suntikan stereoid untuk mengawal kesakitan.
“Saya memulakan perniagaan menjual nasi berlauk pada 2019, selepas saya mengerjakan umrah pada tahun sebelumnya. penyakit slipped disc yang menjadi teruk disebabkan peningkatan berat badan selain bekerja berat menjalankan perniagaan dengan hanya dibantu suami.
“Sejak itu doktor menasihatkan agar saya tidak lagi meneruskan perniagaan bagi mengelakkan keadaan saya menjadi lebih teruk,” ujarnya.










