Tiada sekatan mahkamah, Naim Daniel perlu terus bekerja sara keluarga - Utusan Malaysia

Tiada sekatan mahkamah, Naim Daniel perlu terus bekerja sara keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Naim Daniel, bebas meneruskan aktiviti seni walaupun kes amang seksual fizikal membabitkan dirinya dengan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun masih berjalan di mahkamah.

Menurut peguam, Mohd Irwan Sumadi, sehingga kini tiada sebarang perintah mahkamah atau sekatan undang-undang menghalang penyanyi itu daripada membuat persembahan.

“Kes perbicaraan melibatkan Naim masih belum bermula. Sama macam semua rakyat Malaysia, dia tidak bersalah selagi belum dibuktikan.

“Setakat ini, tiada sebarang perintah mahkamah atau sekatan undang-undang yang menghalang Naim daripada meneruskan kerjaya seni,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya lagi, Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 28 perlu terus bekerja untuk menampung keperluan diri dan keluarga.

“Sebagai individu yang perlu menyara diri dan keluarga, Naim berhak untuk terus bekerja seperti rakyat Malaysia lain,” katanya.

Sebelum ini, netizen meluahkan rasa kurang senang apabila penganjur sebuah acara muzik menyiarkan poster memaparkan penyanyi itu sebagai antara lima artis yang bakal membuat persembahan.

Menerusi maklumat yang dikongsi, juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 itu dijadualkan tampil pada acara Nuansa 2025: Di Antara Suara bersama kumpulan MUAH! pada 23 November ini.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan kes melibatkan Naim diteruskan pada 15, 16 dan 18 Disember.

Naim berdepan tuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berkenaan di sebuah hotel di Petaling Jaya pada pukul 8.56 pagi, 19 Mei lalu.

Pada 17 Jun, Naim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN