Ramai dalam kalangan lelaki berusia menganggap perubahan pada diri seperti kurang bertenaga, tiada selera untuk berhubungan intim, atau cepat marah sebagai tanda biasa penuaan.
Namun, tidak ramai tahu bahawa keadaan ini mungkin berpunca daripada masalah hormon yang dinamakan Late-Onset Hypogonadism (LOH).
Apa itu LOH?
LOH iaitu Late-Onset Hypogonadism adalah keadaan apabila paras hormon testosteron menurun secara ketara seiring peningkatan usia.
Testosteron adalah hormon utama lelaki yang mengawal tenaga, nafsu seks, jisim otot, kekuatan tulang dan kestabilan emosi.
Kebiasaannya, paras hormon ini mula menurun perlahan selepas umur 40 tahun. Tetapi bagi sesetengah lelaki, penurunan berlaku lebih cepat dan ketara hingga menjejaskan kehidupan seharian.
Tanda-tanda yang perlu diberi perhatian
Ramai lelaki tidak sedar bahawa simptom-simptom seperti letih berpanjangan, mood tidak stabil, hilang keinginan seks, dan mati pucuk mungkin berpunca daripada kekurangan testosteron.
Ada yang menyangka bahawa ia sekadar tekanan kerja atau usia meningkat, lalu mengambil mudah akan perkara ini. Tetapi jika simptom berlarutan, ia wajar diperiksa.
Kekurangan testosteron boleh menyebabkan kehilangan jisim otot, peningkatan lemak badan, kemurungan, serta risiko penyakit seperti diabetes dan obesiti.
Bahaya produk ‘tenaga batin’ tidak berdaftar
Dalam usaha mencari penyelesaian pantas, ramai lelaki mudah terpengaruh dengan iklan produk ‘kuat tenaga batin’ yang berleluasa di media sosial.
Produk sebegini sering dijual tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan dan tidak melalui ujian keselamatan. Malah, ada yang mengandungi bahan-bahan tertentu seperti steroid atau ubat kuat (sildenafil) tanpa kawalan, seterusnya mampu menjejaskan fungsi jantung, hati dan buah pinggang.
Ada juga yang mencampurkan bahan logam berat seperti merkuri atau plumbum. Kesan jangka panjangnya boleh membawa kepada kerosakan organ dan ketidakseimbangan hormon yang serius.
Ingat, jangan mudah percaya pada testimoni atau iklan ‘ajaib’. Jika benar berkesan, ubat tersebut pasti berdaftar dan disahkan oleh pihak berkuasa.
Dapatkan pemeriksaan doktor
Jangan sesekali membuat andaian sendiri. Diagnosis LOH perlu dibuat secara klinikal, bukan berdasarkan simptom semata-mata.
Doktor akan melakukan pemeriksaan lanjut serta mangambil ujian darah bagi mengukur tahap testosteron, biasanya pada waktu pagi kerana paras hormon paling tinggi ketika itu.
Jika bacaan hormon rendah dan gejala nyata, doktor akan menilai sama ada pesakit sesuai memulakan rawatan penggantian testosteron (Testosterone Replacement Therapy, TRT).
Rawatan ini hanya boleh diberikan oleh pakar perubatan bertauliah. Dos, bentuk ubat (suntikan, gel atau tampalan) dan tempoh rawatan berbeza bagi setiap individu. Pemantauan berkala adalah amat penting bagi memastikan tiada kesan sampingan kepada darah, hati, prostat atau jantung.
Gaya Hidup Sihat Penentu Utama
Selain rawatan, gaya hidup sihat memainkan peranan besar dalam membantu menstabilkan hormon lelaki.
Antara langkah mudah yang boleh diamalkan:
Lakukan senaman berkala, terutama latihan kekuatan otot.
Tidur sekurang-kurangnya tujuh jam setiap malam.
Berhenti merokok dan mengabaikan alkohol.
Amalkan pemakanan seimbang dengan cukup protein, zink dan vitamin D.
Kekalkan berat badan ideal, kerana obesiti boleh menekan pengeluaran hormon lelaki.
Perubahan gaya hidup ini bukan sahaja membantu meningkatkan tenaga, malah memperbaiki kesihatan mental dan fizikal secara menyeluruh.
Jangan malu untuk dapatkan bantuan. Ramai lelaki enggan berjumpa doktor kerana malu atau takut dianggap ‘tidak kuat’. Hakikatnya, mencari bantuan perubatan bukan tanda kelemahan, tetapi tanggungjawab terhadap diri dan keluarga.
Masalah LOH boleh dikawal dengan rawatan dan bimbingan yang betul. Jangan biarkan simptom seperti hilang mood, kurang nafsu atau mati pucuk berlarutan tanpa tindakan.
Lebih awal dirawat, lebih besar peluang untuk memulihkan tenaga dan kualiti hidup.
Kekurangan hormon testosteron bukan sekadar isu seksual, namun ia menyentuh keseluruhan kesihatan lelaki. Oleh itu, berhentilah memperjudikan kesihatan dengan produk yang diragui dan tidak berdaftar.
Adalah lebih baik merujuk kepada pakar kesihatan sekiranya ingin mengambil ubat-ubatan tertentu yang menawarkan kesembuhan segera.
Jika anda mempunyai simptom-simptom, rujuklah pada doktor anda untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Ingat, kekuatan lelaki bukan terletak pada ubat segera atau testimoni palsu, tetapi pada keberanian untuk menjaga diri dan mendapatkan rawatan yang betul. – UTUSAN
Dr. Mohammad Hifzi Mohd. Hashim ialah Pegawai Perubatan Urologi Jabatan Surgeri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia.










