Terharu lagu jadi peneman 'healing' pendengar - Lyodra - Utusan Malaysia

Terharu lagu jadi peneman ‘healing’ pendengar – Lyodra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKAT kecanggihan aplikasi TikTok dan juga trend lagu galau dan healing di media sosial. Kehadiran Lyodra mula dilihat pendengar Malaysia menerusi lagu Ego pada 2022.

Bagaimanapun, namanya mula mencuri tumpuan apabila deretan lagu yang dihasilkannya selepas itu kerap melatari video pengguna di media sosial bermula dengan Tak Dianggap, Tak Selalu memiliki, Sampaikan Rindu, Jangan Pernah Kembali yang termuat dalam album Melangkah yang terbit tahun lalu.

Bakat Lyodra Ginting yang lahir daripada rancangan popular Indonesian Idol musim ke-10 pernah ditawarkan mengadakan konsert di Malaysia bersama Ziva Magnolya pada 2023 namun dibatalkan saat akhir atas sebab yang tidak dikongsikan penganjur. Bagaimanapun kehampaan itu terubat apabila Lyodra diundang membuat persembahan di Konsert Healing Night di Stadium Merdeka, tahun hadapan.

Mengupas mengenai makna healing, Lyodra sendiri mengakui bahawa tidak mempunyai hobi yang memerlukan wang yang banyak untuk dilaburkan bagi menggembirakan hati. Baginya, cukuplah dengan bernyanyi dan mendengar muzik.

“Healing bagi saya adalah apabila kita dapat melakukan sesuatu yang membuat kita bahagia. Tidak semestinya perlu pergi bercuti jauh atau berdiam diri.

“Kadang-kadang cukup dengan bernyanyi, mendengar muzik, atau menonton konsert. Itu sudah menyembuhkan hati,” katanya.

Maklum akan lagu-lagunya sering disamakan dengan muzik galau dan patah hati, Lyodra gembira nyanyiannya menemani peminat untuk melalui hari sukar yang boleh menyembuhkan rasa kecewa dalam kehidupan mereka.

“Saya kadang lihat orang gunakan lagu saya untuk video sedih atau kenangan, secara tak langsung saya pun ikut terharu.

“Tapi saya gembira kerana karya saya boleh menyentuh hati orang lain. Situasi itu banyak mengingatkan kembali tujuan sebenar saya bernyanyi,” ujarnya ketika ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Bercerita mengenai lagu yang paling memberikan impak, Lyodra mengakui lirik Sampaikan Rindu sangat berhantu kerana sering digunakan pendengar untuk menceritakan kerinduan kepada orang yang sudah meninggal dunia.

“Waktu saya rakam lagu itu, saya cuma bayangkan rasa rindu kepada rumah atau keluarga. Tapi rupanya ramai yang jadikan lagu itu sebagai kenangan untuk insan tersayang yang sudah tiada.

“Saya lihat mereka muat naik foto bersama ibu atau ayah yang sudah pergi, atau momen ketika menjaga mereka di hospital. Itu buat saya sedih juga.

“Tak sangka lagu itu sampai ke makna sedalam itu,” katanya.

Fenomena lagu Lyodra tidak berhenti di situ. Di ruang mesej peribadinya di Instagram, penyanyi muda itu sering menerima pelbagai kisah daripada peminat. Ada yang menulis panjang tentang kehilangan, berkongsi tentang cinta dan perjuangan hidup.

“Kadang-kadang mereka tulis, ‘Ly (panggilan buat Lyodra) lagu kamu ini kisah hidup aku.’ Bila baca, saya rasa tersentuh. Betapa muzik boleh jadi ubat yang benar-benar menguatkan seseorang,” katanya.Namun, di sebalik semua cerita menyentuh hati itu, Lyodra mengakui bahawa dia perlu mengawal emosinya agar tidak terbawa-bawa.

“Kalau terlalu menyelami kisah sedih orang lain, kita pun boleh terikut sama. Jadi, saya belajar untuk mengambil semua itu sebagai motivasi untuk terus berkarya,” katanya,

Makin fasih cakap bahasa Melayu

Menariknya, ketika perbualan semakin santai, Lyodra tiba-tiba tertawa kecil mengakui sudah semakin mahir bertutur dalam bahasa Malaysia.

Katanya, lebih mudah untuk berbual dengan berkomunikasi dengan peminat untuk persembahan tahun hadapan.“Saya sebenarnya sudah lama suka bahasa Melayu. Sejak kecil saya selalu nonton Upin Ipin versi Malaysia yang asli.

“Setiap kali pulang sekolah, saya akan duduk depan TV dan nonton Upin Ipin. Lucu dan comel sangat. Selepas ini saya tidak janggal jika mahu bertemu peminat Malaysia. Sudah faham untuk berbual,” katanya menutup temu ramah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN