SHAH ALAM: Tindakan seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima suapan dianggap amat serius kerana melibatkan soal keselamatan dan pertahanan negara.
Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud berkata demikian selepas mendengar pertuduhan terhadap tertuduh, Kepten Mahazam Ali, 48, yang didakwa menerima rasuah berjumlah RM93,000 antara Oktober 2023 hingga April lalu, semalam.
“Jawatan pegawai itu sangat sensitif kerana bertugas di Cawangan Komunikasi Kementerian Pertahanan. Soal pertahanan negara tidak boleh dipermainkan,” katanya.
Terdahulu, Mahazam Ali mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki melalui seorang wanita perantara antara RM10,000 hingga RM14,400 bagi setiap transaksi.
Kesalahan didakwa dilakukan ketika memegang jawatan sebagai Pengarah Strategi Sumber Manusia, Bahagian Sumber Manusia serta Pengarah Cawangan Komunikasi, Bahagian Siber Elektromagnetik Pertahanan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan serta menetapkan tarikh sebutan semula pada 17 Disember ini.
Sementara itu, seorang pegawai kanan Bahagian Risikan Angkatan Tentera Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM34,500, tiga bulan lalu.
Lelaki berusia 53 tahun itu yang juga Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf di Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Terdahulu, mahkamah mengarahkan agar identiti tertuduh tidak didedahkan pengamal media selepas membenarkan permohonan peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent atas alasan terlibat operasi ketenteraan melibatkan unit risikan pertahanan.
Tertuduh didakwa menerima wang tersebut daripada dua individu di sebuah kondominium di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada Julai lalu sebagai ganjaran untuk tidak melaporkan aktiviti penyeludupan di Kota Tinggi, Johor.
Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pada 14 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan seramai 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM ditahan reman SPRM kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan di selatan tanah air yang dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000.-UTUSAN










