KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menamatkan tempoh pelantikannya sebagai senator pada 2 Disember ini.
Menurutnya, selepas tempoh itu, segala urusan serta tanggungjawab kementerian akan diserahkan sepenuhnya kepada menteri baharu yang akan dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bagi saya, semuanya bergantung kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Laporan Prestasi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi suku ketiga 2025 di Menara MITI hari ini.
Tengku Zafrul menjelaskan, tumpuan beliau ketika ini adalah memastikan proses peralihan kuasa berjalan lancar agar segala urusan kementerian dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Apa yang saya boleh lakukan hanya membantu Menteri baharu dalam proses peralihan,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau akan kekal membantu kerajaan dalam peranan lain, Tengku Zafrul berkata perkara itu belum dibincangkan secara rasmi.
“Tetapi jika perlu, saya sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri sebelum ini tentang hasrat saya untuk terus membantu.
“Sekarang saya sedang menunggu masa yang sesuai. Buat masa ini, belum ada keputusan daripada Perdana Menteri mengenai peranan saya selepas ini,” katanya.
Tengku Zafrul dilantik sebagai senator pada 10 Disember 2022 dan menerajui MITI sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN









