KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman United, Seputeh dipercayai berpunca daripada kegagalan dinding penahan tanah (retaining wall) yang dibina di bahagian bawah cerun.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Rusli Mohamed berkata, dinding penahan tanah tersebut tidak direka sebagai struktur bertetulang.
Katanya, dinding itu tidak mampu menahan tekanan tanah dan air bertakung, selain beban pokok serta akar-akarnya, sekali gus menyebabkan runtuhan.
“Dalam masa yang lama disebabkan oleh pengumpulan air di belakang dan sebagainya terutama musim hujan ini menjadikan ada tekanan di bahagian belakang. Tekanan ini tidak mampu lagi ditampung oleh retaining wall, menjadikannya pecah dan patah.
“Dalam kes tanah runtuh, bila air tersumbat dan tidak boleh keluar daripada tebing, dia akan berkumpul di bahagian belakang dan membina tekanan yang makin lama makin kuat. Jadi akhirnya memberikan tekanan secara lateral yang kuat dan tebing itu gagal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tinjauan bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di pekarangan pangsapuri itu, di sini hari ini.
Terdahulu, dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah itu diarah dikosongkan susulan berlaku pergerakan tanah akibat tanah runtuh di kawasan cerun di kawasan tersebut, semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.02 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bersama dua jentera dengan kekuatan 11 anggota ke lokasi.
Tambah Rusli, pihak berwajib juga dicadangkan untuk melakukan pemotongan pokok pada bahagian atas cerun sebelum memulakan tindakan seterusnya.
“Jadi saya cadangkan kepada pihak berwajib untuk bersihkan dulu terutama pokok-pokok besar itu bagi mengurangkan beban pada atas tebing sebelum tindakan-tindakan pemulihan lain yang dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memohon penduduk yang terlibat untuk mematuhi arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menjamin keselamatan sementara menunggu analisis daripada JMG.
“Saya nak menyeru penduduk Blok C, Taman United ini untuk ikut arahan daripada DBKL demi keselamatan mereka. Jadi kerjasama daripada penduduk adalah amat dihargai dan diperlukan.
“Saya rasa dalam sekurang-kurangnya satu ke dua minggu ini pihak pakar perlu buat analisis tanah dan sebagainya untuk menentukan apa langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan,” katanya. – UTUSAN










