LANGIT Alor Setar malam itu sedikit cerah dengan angin sepoi-sepoi bahasa menyapu bumi yang basah usai gerimis beberapa detik sebelumnya.
Dua acara berlangsung di lokasi jaraknya kurang dua kilometer. Di Stadium Darul Aman, ada perlawanan bola sepak pemain legenda Kedah yang dikembalikan untuk menghangatkan gelanggangnya yang sedikit suram sejak kebelakangan ini.
Di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah pula, berlangsung pementasan teater muzikal Mahsuri. Banyak yang barangkali menyangka sambutan di sini dingin, sedingin angin Monsun Timur Laut yang bertiup ketika ini, namun malangnya sangkaan itu meleset.

Seperti gelanggang Stadium Darul Aman yang sarat dengan keterujaan kaki bola, panggung JKKN Kedah itu juga padat dengan khalayak penggemar teater yang seolah-olah tidak sabar untuk menyaksikan pementasan itu.
Lupakan tentang plot atau naratif teater muzikal ini kerana kisah legenda Mahsuri masyhur sejak sekian lama yang akhirnya menjadi suara senyap kebanggaan penduduk Langkawi dan bumi jelapang padi. Apa lebih penting pementasan ini membuktikan dunia teater di utara tidak malap cuma barangkali tiada ruang untuk penggiatnya berkembang. Setiap elemen produksi teater muzikal ini menunjukkan usaha gigih dan dedikasi agensi terlibat.
Teater ini bukan sekadar hiburan, ia adalah naratif identiti jadi dialek atau loghat Kedah yang digunakan sepanjang pementasan menjadi roh persembahan, menjadikan kisah ini sangat dekat di hati khalayaknya termasuk kanak-kanak yang hadir pada malam itu.
Kisah Mahsuri versi muzikal menampilkan wanita suci yang difitnah dan dihukum mati, namun dalam bentuk nyanyian dan lakonan, dendam, kasih, dan pengorbanan dibawa hidup dengan intensiti emosi yang tersendiri.
Muzik dan lagu-lagu rakyat digunakan sebagai nadi persembahan. Lagu-lagu rakyat Kedah mengiringi setiap babak, menjadikan pentas penuh warna dan irama tempatan. Beberapa babak menyelitkan lagu-lagu kontemporari untuk memberi nilai humor dan mendekatkan penonton muda dengan cerita lama.
Gabungan tradisional dan moden ini berjaya menyeimbangkan naratif tanpa menjejaskan identiti Kedah. Dari sudut teknikal, pentas minimalis tetapi efektif. Pencahayaan lembut dan simbolik membantu memisahkan babak dan menekankan emosi watak, sementara props yang sederhana tidak mengalih fokus dari lakonan.
Kostum menjadi elemen penting. Songket Mahsuri, hiasan kepala tradisional dan pakaian nuansa klasik menghidupkan zaman silam, memberikan visual yang jelas tentang kedudukan sosial dan watak. Koreografi dan gerak tari membantu menegaskan cerita, mood dan suasana.
Lakonan sederhana namun artis kesenian daripada jabatan itu yang menjayakan pementasannya berusaha membawa emosi yang mendalam pada setiap watak.
Pelakon sokongan turut berjaya, menambahkan lapisan humor, konflik, dan emosi. Babak istana dan pertemuan rakyat disusun baik untuk memberikan tempo dramatik yang stabil. Namun penulis tertarik dengan watak Awang yang juga sebagai narrator atau pencerita. Awang ibarat Etong, watak utama dalam wayang kulit Kedah.
Tema utama teater ini adalah pengorbanan, maruah, dan ketabahan. Walaupun kisah Mahsuri sudah lama, mesejnya tetap relevan kepada masyarakat moden, mengingatkan penonton tentang pentingnya kebenaran dan keadilan.
Pengarah JKKN Kedah, Sabarina Masadi berkata, teater muzikal itu adalah sebahagian daripada usaha kumpulan kesenian jabatan itu untuk mengetengahkan karya terkenal Kedah selain memberi peluang kepada penggemar teater mendekati warisan rakyat negeri ini.
Menurut beliau, JKKN Kedah juga akan mementaskan teater Ranjau Sepanjang Jalan pada karya Sasterawan Negara dari Kedah, Allahyarham Datuk Shahnon Ahmad pada 24 dan 25 Oktober ini di lokasi sama.
Kedah sememangnya kaya dengan cerita-cerita daripada mitos, dongeng sehingga sejarah termasuk Puteri Lindungan Bulan, Raja Bersiong dan Hikayat Merong Mahawangsa. Kedah juga diibaratkan rahim sastera Melayu yang melahirkan penulis realistik seperti Shahnon, Datuk Abdullah Hussain dan Datuk Dr. Zurinah Hassan. Banyak karya budayawan hebat ini boleh diinspirasikan ke pentas.
Di sisi lain, teater muzikal Mahsuri ini membuktikan identiti seni dan budaya Kedah boleh terus hidup dalam bentuk teater moden terutamanya apabila naskhah itu berjaya menggabungkan cerita, bahasa, muzik, dan tarian tempatan dengan cara menghormati tradisi tetapi relevan kepada generasi baru.
Tidak keterlaluan diandaikan, Mahsuri bukan sekadar pentas atau persembahan kerana kesudahannya ia menjelaskan tentang kerinduan khalayaknya kepada dunia budaya dan sastera ini di Kedah. – UTUSAN










